KUALA LUMPUR: Pendakwaan terhadap mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang sepatutnya berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada 7 Ogos, ditangguhkan ke 27 Ogos, berikutan masalah kesihatan dihadapi beliau.

Perubahan itu selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada 7 Ogos, membenarkan permohonan menangguhkan prosiding pertuduhan dan pengambilan pengakuan Datuk Ismail Sabri, selepas dimaklumkan beliau sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Mahkamah turut dimaklumkan tertuduh juga dijadual menjalani satu prosedur perubatan pada petang 7 Ogos dan disahkan oleh IJN.

Keputusan itu dibuat Hakim Suzana Hussin selepas mendengar permohonan pihak pembelaan, manakala pihak pendakwaan memaklumkan tidak membantah penangguhan tersebut atas dasar kemanusiaan.

Terdahulu, prosiding dimulakan dengan pihak pendakwaan memaklumkan bahawa pertuduhan terhadap Datuk Ismail Sabri telah difailkan berserta lampiran yang merupakan sebahagian daripada pertuduhan.

Salinan pertuduhan itu juga telah diserahkan kepada pihak pembelaan, lapor portal berita MalaysiaGazette.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memaklumkan tertuduh tidak dapat hadir ke mahkamah pada 7 Ogos, sebelum pihak pembelaan menjelaskan keadaan kesihatan mantan Perdana Menteri itu.

Peguam bela Datuk Ismail, Datuk Amer Hamzah Arshad, berkata meskipun pihak pendakwaan telah mendaftarkan pertuduhan, ia tidak dapat dibacakan dan tiada pengakuan direkodkan berikutan anak guamnya kini sedang menerima rawatan di IJN.

Beliau berkata Datuk Ismail dijadual menjalani prosedur memasang alat perentak jantung (pacemaker) pada petang 7 Ogos.

Mahkamah dimaklumkan Datuk Ismail Sabri mula mengalami masalah kesihatan ketika berada di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 6 Ogos bagi urusan berkaitan siasatan.

Ketika itu, beliau ditemani peguamnya sebelum pihak SPRM dimaklumkan mengenai keadaan tersebut dan beliau dikejarkan ke IJN untuk mendapatkan rawatan pada petang sama.

Menurut pihak pembelaan, selepas dimasukkan ke IJN, mereka memperoleh pengesahan daripada doktor yang merawat mengenai keadaan kesihatan Datuk Ismail.

Pihak pembelaan berkata berdasarkan maklumat daripada IJN, Ahli Parlimen Bera itu dijangka perlu ditempatkan di wad selama beberapa hari selepas prosedur berkenaan bagi membolehkan pemantauan lanjut dilakukan.

Kes terhadap Datuk Ismail Sabri dipercayai berhubung pengisytiharan harta.

Sebelum ini, beliau beberapa kali dipanggil bagi sesi rakaman lisan mengenai pengisytiharan harta yang dibuat beliau kepada SPRM.

SPRM sebelum ini turut merampas wang tunai RM170 juta ($53.15 juta) dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta, berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap beliau.

Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan safe house hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Datuk Ismail yang ditahan pada Februari 2025.