Topik diikuti
Pergi ke BHkuMenteri bidas dakwaan KJ: Hak Melayu/Islam M’sia tidak dilindungi parti politik, tapi perlembagaan
Menteri bidas dakwaan KJ: Hak Melayu/Islam M’sia tidak dilindungi parti politik, tapi perlembagaan
Menteri bidas dakwaan KJ: Hak Melayu/Islam M’sia tidak dilindungi parti politik, tapi perlembagaan
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Perpaduan Malaysia, Encik R Yuneswaran, berkata perlindungan terhadap hak istimewa orang Melayu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak tertakluk kepada mana-mana parti politik yang memegang kuasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen (AP) Jelutong (Pulau Pinang) daripada Pakatan Harapan (PH), Encik RSN Rayer, yang merujuk kepada kenyataan mutakhir oleh mantan Ketua Pemuda Umno, Encik Khairy Jamaluddin, yang mendakwa hanya Umno yang mampu melindungi kepentingan orang Melayu dan agama Islam.
Encik Yuneswaran menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang tertinggi Malaysia, sambil menambah bahawa peruntukan berkaitan perkara yang dilindungi tidak boleh diubah dengan mudah kerana sebarang pindaan memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen serta perlu melalui proses yang panjang.
Malah, Encik Yuneswaran yang juga AP Segamat (Johor) turut menggesa ahli politik agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh memecahbelahkan masyarakat berhubung perkara dalam Perlembagaan, dan menekankan tanggungjawab mereka sebagai penggubal dasar untuk mempromosikan perpaduan negara.
“Saya juga mencadangkan dan menyarankan kepada ahli-ahli politik, elakkanlah ya.
“Kita tahu kita semua adalah pembawa dasar perlu sangat berwaspada dan berhati-hati dalam apa-apa isu yang termaktub dalam Perlembagaan, itu jelas,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, 7 Julai, lapor portal berita, Malaysiakini.
Keluhuran Perlembagaan ialah prinsip undang-undang yang menetapkan Perlembagaan sebagai kuasa undang-undang tertinggi di Malaysia.
Ini menyebabkan mana-mana undang-undang atau kontrak yang melanggar Perlembagaan menjadi terbatal dan tidak sah, mengikut Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan.
Pada 5 Julai lalu, Encik Khairy menyeru pengundi Melayu dan Islam di Negeri Sembilan untuk mengembalikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri ke-16 Negeri Sembilan, akan datang, dengan mendakwa Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, gagal melindungi kepentingan masyarakat Melayu/Islam di negeri itu.
Sambil merujuk kepada komposisi kaum wakil PH dalam Dewan Undangan Negeri, Encik Khairy berkata masyarakat Melayu/Islam mendapat manfaat daripada Kerajaan Negeri sebelum ini kerana mempunyai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Umno yang mewakili kepentingan kumpulan tersebut.
Encik Khairy yang juga mantan Ahli Parlimen Rembau (Negeri Sembilan) itu turut menuduh Datuk Aminuddin tidak berkuasa dan berada di bawah kawalan Parti Tindakan Demokratik (DAP), yang memegang kerusi terbanyak dalam kalangan parti PH.
Sementara itu, di Seremban, Negeri Sembilan, Setiausaha Agung DAP, Encik Anthony Loke, berkata semua dasar dan keputusan kerajaan, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun Negeri Sembilan dibuat secara kolektif menerusi perbincangan dan konsensus semua parti komponen, bukannya mengikut telunjuk mana-mana pihak.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan, berkata dakwaan bahawa kerajaan dipengaruhi atau mengikut ‘telunjuk’ DAP adalah naratif lapuk yang terus dimainkan untuk memburukkan PH.
Beliau berkata dalam Kerajaan Persekutuan, semua parti termasuk DAP, Umno dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengemukakan pandangan masing-masing sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tidak ada lagi alasan lain selain nak salahkan DAP? Apa sahaja dalam gabungan kerjasama politik ini, ada ruang untuk berbincang. Sebagai rakan komponen dan anggota pentadbiran, sudah tentu kita bagi pandangan, takkanlah hanya duduk membisu sahaja.
“Umno juga bagi pandangan, PKR juga bagi pandangan tetapi akhirnya, Perdana Menteri membuat pertimbangan, bukannya ikut telunjuk mana-mana pihak,” katanya pada 7 Julai.
