Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri: Ekonomi M’sia diunjur berkembang hingga 5.5% pada 2025

Feb 13, 2025 | 4:15 PM
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli. - Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia diunjur berkembang antara 4.5 hingga 5.5 peratus pada 2025, kata Menteri Ekonomi Malaysia, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Beliau berkata perkembangan itu disokong persekitaran luar yang stabil dan berdaya tahan serta jangkaan permintaan domestik, selain keadaan pasaran buruh yang lebih baik.

Katanya, unjuran itu selari dengan anggaran beberapa agensi antarabangsa termasuk Tabung Kewangan Antarabangsa yang menganggarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP) Malaysia berkembang 4.7 peratus dan Bank Dunia sebanyak 4.9 peratus bagi 2025.

“Sektor perkhidmatan dijangka berkembang sebanyak 5.5 peratus pada 2025, disokong perbelanjaan pengguna yang berterusan serta aktiviti berkaitan perniagaan dan pelancongan lebih rancak,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, pada 13 Februari, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen (AP) Kampar (Perak) daripada Pakatan Harapan (PH), Encik Chong Zhemin, mengenai unjuran ekonomi Malaysia pada 2025 dan faktor yang menyumbang kepadanya.

Datuk Rafizi berkata kepengerusian Asean juga dijangka memberi manfaat kepada sektor perkhidmatan.

Katanya sektor pembuatan diunjur meningkat sebanyak 4.5 peratus, didorong permintaan luar yang stabil terutamanya bagi produk elektrik dan elektronik.

“Sementara itu, sektor pembinaan dijangka berkembang sebanyak 9.4 peratus, dipacu oleh pelaksanaan berterusan projek infrastruktur termasuk laluan penghubung Sabah Sarawak Fasa 2 dan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) berterusan.

“Sektor pertanian dijangka berkembang sebanyak 1.9 peratus, disokong oleh semua subsektor, kecuali perhutanan dan pembalakan, manakala sektor perlombongan merosot 1 peratus disebabkan pengeluaran lebih rendah,” katanya.

Tambahnya, permintaan domestik juga dijangka berkembang, disokong perbelanjaan sektor swasta yang dijangka meningkat sehingga 5.9 peratus, didorong keadaan pasaran buruh yang menggalakkan.

Menjawab soalan kesan perang dagangan ke atas unjuran ekonomi akibat tarif yang dikenakan Amerika Syarikat, Datuk Rafizi berkata Malaysia tidak terkecuali kerana Malaysia adalah sebuah negara dagang dan Amerika adalah rakan dagang terbesar negara.

“Di peringkat kerajaan, perkara ini dikendalikan secara bersepadu dan diterajui oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti). Kerajaan mengambil kaedah serampang dua mata.

“Pertama untuk jangka masa pendek, kita mesti peka dengan setiap perkembangan dan kerajaan perlu bertindak secara proaktif dengan secara dari satu isu ke satu isu bagi mengekalkan hubungan positif dengan rakan dagang seperti Amerika dan China,” katanya.

Pada masa sama, Datuk Rafizi berkata Malaysia perlu mengukuhkan asas ekonomi termasuk kedudukan fiskal negara dan melonjakkan aktiviti ekonomi ke peringkat nilai lebih tinggi.

“Malaysia juga perlu terus melaksanakan dasar yang mesra pelaburan dan perniagaan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg