JOHOR BAHRU: Masyarakat diminta tidak membandingkan situasi virus cacar monyet atau mpox di Malaysia dengan negara jiran, Singapura, bagi mengelakkan suasana menggusarkan.
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata setakat ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama kementerian dan agensi lain yang berkaitan mengambil langkah pencegahan awal dan belum ke tahap perlu melaksanakan kuarantin.
“Jangan terlalu buat perbandingan dengan Singapura. Kita punya cabaran sendiri dan SOP (prosedur operasi standard) yang kita telah letakkan. Singapura ada kuarantin, kita tidak sampai ke tahap itu kerana kita masih lagi terkawal, tiada kes positif.
“Kita tidak mahu orang berlengah-lengah atau cuai, tetapi pada waktu sama, kita tidak mahu masyarakat digemparkan dengan apa juga pendekatan yang boleh menggusarkan.
“Ini bukan pandemik macam Covid-19 yang berulang sehingga ada lock down (sekatan) dan sebagainya, itu semua jangan kita bayangkan,” jelasnya, lapor Berita Harian Malaysia.
Menurut Dr Dzulkefly, sejauh ini sebanyak 46 kes yang disyaki suspek virus mpox telah disahkan negatif.
Beliau berkata jumlah itu diperoleh hasil saringan yang dibuat terhadap 5.2 juta pengembara yang masuk ke Malaysia setakat ini.
“Mutakhir ini, kita sudah saring 5.2 juta (pengembara) dan daripada jumlah itu kita dapat 46 kes suspek mpox, namun berita gembiranya, semua negatif.
“Sehingga kini, kita belum berdepan apa-apa cabaran, semoga ia kekal begini. Terakhir, kita berdepan kes positif dalam varian Clade II (dua) bukan I (satu) yang lebih ganas iaitu sembilan kes pada Disember 2023,” katanya.
Dr Dzulkefly berkata sejak 16 Ogos lalu, KKM sudah memulakan segala langkah siap sedia terutamanya di pintu-pintu masuk sempadan negara.
Sehingga kini Singapura melaporkan terdapat 13 kes mpox yang dikesan setakat 22 Ogos 2024, kesemuanya adalah jangkitan mpox Clade II yang kurang teruk. Tiada kes mpox jenis Clade I, dikesan di Singapura sejauh ini.
Singapura juga mula melaksanakan pemeriksaan suhu badan dan visual di Lapangan Terbang Changi dan Seletar mulai 23 Ogos, sebagai langkah berjaga-jaga terhadap risiko penularan jangkitan mpox dari luar negara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg