Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SPRM mula siasat projek RM4b kontroversi 1BestariNet

Inisiatif sediakan akses Internet kelajuan tinggi, pembelajaran maya Kementerian Pendidikan bawah Muhyiddin semasa kerajaan BN lalu gagal capai matlamat
Sep 5, 2024 | 2:22 PM
Projek 1BestariNet yang dimulakan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2011 dan ditamatkan pada 2020, kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Projek 1BestariNet yang dimulakan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2011 dan ditamatkan pada 2020, kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - Foto LAMAN WEB YTL COMMUNITY

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap projek kontroversi 1BestariNet, yang dimulakan pada 2011 oleh mantan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang merupakan menteri pendidikan ketika itu.

Pada 4 September, pegawai SPRM menyerbu pejabat YTL Communications Sdn Bhd (YTL Comms) di Kuala Lumpur, sebagai sebahagian siasatan terhadap projek bernilai RM4 bilion ($1.2 bilion) itu, yang dihentikan pada 2020.

Pegawai SPRM turut menyerbu sebuah pejabat agensi kerajaan berhubung projek tersebut dan menyita sejumlah dokumen.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu memberikan tender bagi perkhidmatan 1BestariNet kepada YTL Comms pada 2011.

Difahamkan bahawa SPRM juga sedang mengkaji untuk mengenal pasti saksi yang akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan, yang menjurus kepada dokumen tuntutan mengandungi butiran palsu membabitkan pembayaran kira-kira RM2.7 bilion.

Berita Harian Malaysia melaporkan kerajaan BN memulakan projek 1BestariNet pada 2011 dengan matlamat menyediakan akses Internet berkelajuan tinggi kepada 10,000 sekolah di Malaysia dan melaksanakan Pelantar Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) berasaskan awan.

Kementerian Pendidikan menganugerahkan kontrak selama 15 tahun bernilai RM4.1 bilion kepada YTL Comms bagi pelaksanaan projek tersebut.

Fasa pertama projek itu mula dilaksanakan pada 2012 dengan matlamat menghubungkan sekolah ke Internet dan platform Frog VLE.

Bagaimanapun, mulai 2013 sekolah mula melaporkan masalah berkaitan kelajuan Internet dan sambungan. Banyak sekolah luar bandar tidak dapat memanfaatkan perkhidmatan itu disebabkan infrastruktur dan liputan lemah.

Laporan Ketua Audit Negara juga menyuarakan kebimbangan terhadap projek itu, mengetengahkan ketidakcekapan dan kegagalan mencapai objektif yang ditetapkan.

Projek itu kemudian mendapat perhatian serius Ahli Parlimen dan orang ramai, yang mempersoalkan keberkesanannya serta kos yang tinggi pada 2014 hingga 2015.

Audit tambahan turut mendedahkan banyak sekolah masih belum disambungkan dan penggunaan Frog VLE berada di bawah paras jangkaan.

Pada 2019, kerajaan Pakatan Harapan (PH) menamatkan Frog VLE di sekolah, menggantikannya dengan Google Classroom dan alternatif lain.

Pada masa sama YTL Comms mendakwa kerajaan PH melanggar tuntutan kontrak dengan penamatan 1BestariNet dan Frog VLE, namun tuduhan itu dinafikan kerajaan ketika itu.

Kerajaan PH juga memutuskan tiada lagi sambungan projek berkenaan pada 2020 dan Kementerian Pendidikan Malaysia bertegas tidak mahu meneruskan kontrak 1BestariNet dengan YES 4G (YTL Comms).

Para guru melihat keputusan kerajaan tidak menyambung projek 1BestariNet dan memberi kuasa kepada pihak sekolah untuk memilih sembarang pembekal yang dapat memberikan perkhidmatan terbaik adalah amat tepat.

Pada 2024, SPRM memulakan siasatan ke atas tuntutan pembayaran untuk tender perkhidmatan 1BestariNet dan menyerbu pejabat kerajaan serta YES 4G pada 4 September.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg