Malaysian Medical Relief Society (Mercy Malaysia) meneruskan bantuan kemanusiaan dan perubatan ke Gaza dengan menghantar pasukan perubatan melalui misi Pasukan Perubatan Khas (SCT) ke-6, yang ketika ini sedang memberikan khidmat kesihatan kritikal di Hospital Al-Shifa dan beberapa fasiliti berkaitan di sana.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Mercy Malaysia memaklumkan pasukan sukarelawan perubatan itu kini melaksanakan pembedahan ortopedik, konsultasi pakar, rawatan dialisis serta penjagaan kesihatan ibu dan anak di kawasan terjejas.
“Pasukan sukarelawan perubatan yang beroperasi sebagai unit pembedahan khusus kekal komited menyelamatkan nyawa.
“Mereka terus memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa yang tercedera serta rawatan kritikal kepada mereka yang memerlukan perhatian khusus,” kata Mercy Malaysia dalam kenyataan pada 6 November.
Menurut kenyataan itu, pasukan SCT ke-6 turut meninjau keadaan semasa di Gaza yang menyaksikan penduduk berdepan kekurangan bekalan air bersih dan infrastruktur yang rosak teruk akibat konflik berlarutan dua tahun sejak 2023.
“Kanak-kanak dilihat beratur untuk mendapatkan bekalan air, rumah-rumah musnah menjadi runtuhan, manakala keluarga berdepan kesukaran mencari perlindungan serta memenuhi keperluan harian.
“Pasukan ini menyaksikan sendiri realiti kehidupan di tengah konflik, di mana ketabahan dan daya tahan tetap terserlah meskipun berhadapan cabaran yang amat berat,” kata Mercy Malaysia.
Mercy Malaysia turut memaklumkan bahawa pasukan khas itu berada di bawah penyelarasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kini beroperasi sebagai barisan hadapan dalam misi berkenaan.
Sejak bermulanya pencerobohan Israel pada Oktober 2023, angka korban di Semenanjung Gaza meningkat kepada 68,858 orang yang majoritinya adalah wanita dan kanak-kanak, manakala 170,664 lagi cedera.
Sejak perjanjian gencatan senjata terbaru berkuat kuasa pada 11 Oktober lalu, seramai 226 rakyat Palestin terbunuh dan 594 cedera.
Sejak awal 2024, Mercy Malaysia turut melaksanakan projek penyelenggaraan sistem air bagi memulihkan dan mengekalkan akses kepada bekalan air bersih di beberapa kawasan yang terjejas di Gaza, termasuk kerja penyelenggaraan beberapa stesen air.
“Mercy Malaysia kekal teguh menyokong usaha pemulihan kesihatan. Kami terus memulihkan akses kepada perkhidmatan penting yang menyelamatkan nyawa serta mempertahankan hak untuk mendapat penjagaan kesihatan bagi semua,” katanya.
Mercy Malaysia merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan dan perubatan yang menyalurkan bantuan perubatan kecemasan dalam dan luar negara.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg