Palang Merah Singapura (SRC) melancarkan rayuan pengumpulan dana awam keempat, bagi bantuan kemanusiaan di Gaza pada 28 Oktober.
Menurut kenyataan SRC, langkah itu diambil selepas operasi bantuan disambung semula berikutan fasa pertama gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober.
Dana akan disalurkan kepada Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) untuk menyokong penghantaran makanan, ubat-ubatan dan bantuan kecemasan.
Orang ramai boleh menyumbang sehingga 30 April 2026 melalui kaedah berikut:
Menurut akhbar The Straits Times (ST), setiap sumbangan layak mendapat potongan cukai 100 peratus.
Sejak gencatan senjata bermula, ERC telah menyalurkan lebih 400 penghantaran bantuan ke Gaza, termasuk makanan, tepung, bekalan perubatan dan bahan api.
PRCS pula terus menjadi nadi bantuan, menyediakan perkhidmatan ambulans, pemindahan perubatan, sokongan psikososial dan bantuan kecemasan.
Setakat ini, SRC telah menyumbang $1.9 juta dalam bantuan kemanusiaan, termasuk bekalan makanan, perubatan, khemah dan sokongan kesihatan mental, yang disalurkan melalui ERC dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).
Konflik tercetus selepas serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023.
Pada 22 Ogos, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan berlakunya kebuluran di Gaza, yang merupakan yang pertama di Timur Tengah.
Menurut SRC, kemusnahan besar terhadap prasarana air, sanitasi dan kebersihan telah menyukarkan rakyat mendapatkan air bersih.
“Keperluan di Gaza amat mendesak,” jelas SRC, sambil merujuk kepada laporan yang mencatat sebanyak 67,938 kematian dan seramai 190,169 cedera.
Sekurang-kurangnya 94 peratus hospital rosak dan 92 peratus kediaman musnah, manakala lebih sejuta kanak-kanak memerlukan sokongan psikososial dan pendidikan.
“Gencatan senjata memberi peluang untuk beralih daripada bantuan kecemasan kepada pemulihan.
“Perjalanan pemulihan masih jauh, namun setiap tindakan belas ihsan amat bermakna.
“Kami menyeru rakyat Singapura agar terus berdiri teguh bersama Gaza dalam membina semula kehidupan mereka,” kata Setiausaha Agung SRC, Encik Benjamin William.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg