KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan pelarian di negara itu, yang bertindak mengganggu ketenteraman awam atau cuba menguasai mana-mana kawasan di Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Anwar berkata kerajaan tidak akan berkompromi dan beliau sudah mengarahkan pihak penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pelarian yang melanggar undang-undang.

“Kita tidak boleh benarkan perkara tersebut berlaku sehingga mengganggu keselamatan penduduk tempatan.

“Saya juga pesan kepada polis dan pihak imigresen supaya berhati-hati ketika mengambil tindakan, khususnya membabitkan wanita dan kanak-kanak.

“Tapi saya fikir kita harus ambil tindakan tegas dengan tidak mengizinkan mereka mengambil alih mana-mana tempat dalam negara ini sewenang-wenangnya tanpa hormat pada undang-undang,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Penutup Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Kuala Lumpur, pada 27 Julai.

Datuk Anwar berkata demikian ketika mengulas tindakan ratusan pelarian Rohingya yang berkumpul di hadapan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling, Kuala Lumpur, pada 27 Julai.

Tegas Datuk Anwar, kerajaan memahami hasrat pelarian yang ingin mendapatkan perlindungan di bawah UNHCR.

Bagaimanapun, katanya, mereka (pelarian) tidak boleh bertindak sesuka hati sehingga menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat setempat.

“Saya faham mereka cuba (mendapatkan) perlindungan di UNHCR, tetapi mereka tidak boleh sesuka hati masuk kawasan.

“Ada peraturan dalam negara ini, dan mereka tidak boleh bertindak sebarangan sehingga menimbulkan keresahan penduduk tempatan,” katanya lagi.

Media Malaysia sebelum ini melaporkan, ratusan pelarian Rohingya berkampung di hadapan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling, selepas dilaporkan tiba di Kuala Lumpur, pada awal pagi 27 Julai.

Mereka tiba di pejabat UNHCR itu menaiki tiga bas selepas mereka diusir keluar oleh penduduk tempatan di penempatan mereka di Pulau Pinang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, pada 28 Julai berkata pihaknya memindahkan semua 110 warga Rohingya terbabit ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur buat masa ini.

Isu mengenai lambakan pelarian Rohingya di Malaysia hangat dibincangkan sejak beberapa bulan lalu, dengan banyak gesaan daripada badan bukan pemerintah (NGO) tempatan, ahli akademik dan masyarakat supaya kerajaan mengambil tindakan tegas menghantar mereka pulang ke negara asal atau negara ketiga.

Ia berikutan jumlah pelarian itu yang semakin menguasai beberapa kawasan penempatan dan perniagaan di Malaysia sehingga menimbulkan rasa kurang senang warga tempatan.

Gesaan supaya pelarian Rohingya diusir keluar dari Malaysia memuncak selepas seorang aktivis pelarian Rohingya, dikenali sebagai Noor Azizah pada Jun lalu mendakwa Malaysia, Indonesia dan Thailand melayan komuniti Rohingya dengan kejam dan tidak berperikemanusiaan.