Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia akan pinda akta lindungi pemberi maklumat, bezakan ‘whistleblower’ dengan perasuah

Dec 16, 2025 | 1:03 PM
politik M’sia, Anwar, akta lindungi pemberi maklumat, rasuah
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa sberucap di Dewan Negara. - Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA.

KUALA LUMPUR: Malaysia akan meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi memperjelas perbezaan antara pemberi maklumat tulen dengan penjenayah yang cuba menyalahguna undang-undang berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pindaan yang dijangka pada 2026 itu penting untuk menutup ruang salah guna, terutama oleh perasuah atau penjenayah tegar yang berpura-pura bekerjasama dengan pihak berkuasa demi mengelak tindakan undang-undang.

Namun, perlindungan itu tidak wajar diberikan secara membuta, tegas Datuk Anwar, sehingga mengangkat penjenayah atau perasuah sebagai ‘wira’ hanya kerana membuat pendedahan selepas melakukan kesalahan serius.

“Pemberi maklumat perlu dibezakan dengan jelas daripada penyamun atau perasuah tegar yang cuba bersembunyi di sebalik whistleblower (pemberi maklumat). Ini dua perkara yang mesti dibezakan dengan jelas,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara, pada 16 Disember, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Anwar menjawab pertanyaan Senator Amir Md Ghazali mengenai langkah kerajaan memperkukuh integriti dan ketelusan penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang penyalahgunaan kuasa dan ketirisan dalam agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau menegaskan, prinsip ‘tiada siapa kebal di sisi undang-undang’ akan terus diterapkan tanpa kompromi, termasuk terhadap individu berpengaruh atau berkedudukan tinggi.

Datuk Anwar turut mengakui wujud budaya dalam kalangan sesetengah pihak yang cenderung membela individu yang mengaku terlibat dalam rasuah atas alasan kononnya memberi pendedahan.

Selain itu, beliau berkata perlindungan terhadap pemberi maklumat kekal terjamin termasuk aspek keselamatan diri serta keluarga mereka, selaras dengan prinsip menggalakkan budaya berani melapor dalam kalangan warga penguatkuasaan dan masyarakat.

“Melindungi pemberi maklumat ini bukan saja bermakna mereka tidak diambil tindakan, tetapi juga keselamatan mereka dan keluarga dikawal supaya tidak dizalimi oleh penjenayah,” kata beliau.

Menurut Datuk Anwar, menteri yang dipertanggungjawabkan sedang meneliti perkara berkenaan dan kerajaan bersedia membentangkan pindaan akta itu pada awal 2026 bagi menetapkan definisi, kaedah dan mekanisme lebih jelas agar perlindungan pemberi maklumat kekal berfungsi sebagai instrumen penting memperkukuh integriti negara, tanpa disalahgunakan.

Sementara itu, Datuk Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata integriti merupakan asas utama keberkesanan penguatkuasaan undang-undang.

Tanpa prinsip itu, kejayaan kerajaan mencapai nilai rampasan, lucut hak serta kutipan denda berjumlah RM15.5 bilion ($4.89 bilion) tidak mungkin dapat direalisasikan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg