Topik diikuti
Pergi ke BHkuM’sia berpotensi catat suhu hingga 40 darjah Celsius menjelang Mac-Mei 2027
M’sia berpotensi catat suhu hingga 40 darjah Celsius menjelang Mac-Mei 2027
M’sia berpotensi catat suhu hingga 40 darjah Celsius menjelang Mac-Mei 2027
KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi mengalami suhu maksimum harian mencecah antara 39 hingga 40 darjah Celsius sekiranya fenomena El Nino kuat berlaku pada penghujung 2026 atau awal tahun 2027.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata kemuncak cuaca panas di negara itu lazimnya direkodkan antara Mac hingga Mei setiap tahun.
“Berdasarkan rekod pencerapan meteorologi terdahulu, suhu maksimum harian boleh melebihi 38 darjah Celsius dalam tempoh berkenaan apabila negara mengalami episod El Nino yang kuat seperti pada 1997/1998 dan 2016/2017.
“Dengan jangkaan El Nino kuat serta kesan pemanasan sejagat yang semakin ketara, suhu sekitar 40 darjah Celsius dijangka berpotensi berlaku di Malaysia dalam tempoh Mac hingga Mei 2027,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Dr Mohd Hisham berkata kawasan yang dijangka paling berisiko mengalami suhu tinggi ialah negeri di utara Semenanjung, kawasan pedalaman Kelantan dan Pahang serta pedalaman Sabah dan Sarawak.
Mengulas gelombang haba yang sedang melanda beberapa negara Eropah, Dr Mohd Hisham menjelaskan situasi di Malaysia adalah berbeza kerana beriklim tropika yang mengalami cuaca panas sepanjang tahun.
Manakala negara-negara Eropah, Amerika Syarikat dan China ketika ini berada dalam musim panas yang mencatatkan suhu lebih tinggi berbanding musim lain.
“Cuaca panas yang berpanjangan boleh memberi kesan besar kepada pelbagai sektor termasuk kesihatan awam, bekalan air, pertanian, tenaga dan alam sekitar.
“Risiko penyakit berkaitan haba seperti kekejangan haba, keletihan haba dan strok haba dijangka meningkat, terutama dalam kalangan warga emas, kanak-kanak, individu yang menghidap penyakit kronik serta mereka yang bekerja di luar bangunan.
“Keadaan cuaca panas juga boleh menyebabkan dehidrasi dan meningkatkan risiko kemasukan ke hospital serta kematian akibat haba,” katanya.
Dr Mohd Hisham turut menjelaskan sekiranya cuaca panas disertai pengurangan jumlah hujan, paras empangan boleh menurun sehingga menjejaskan bekalan air domestik, sektor pertanian dan industri selain mengurangkan keupayaan penjanaan tenaga elektrik berasaskan hidro.
Pada masa sama, cuaca panas dan kering yang berpanjangan turut meningkatkan risiko kebakaran hutan, khususnya di kawasan tanah gambut.
Katanya, kebakaran yang tidak terkawal boleh menyebabkan jerebu sekali gus menjejaskan kualiti udara, kesihatan awam dan aktiviti harian masyarakat.
Sehubungan itu, Mohd Hisham menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan dengan meminum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi, mengurangkan aktiviti luar ketika waktu puncak panas, mengelakkan pembakaran terbuka serta mengamalkan penggunaan air dan elektrik secara berhemah.
