Lawatan rasmi sulung Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Brazil sehingga 19 November, bukan saja mengukuhkan lagi hubungan diplomatik yang telah terjalin selama 65 tahun, malahan memperluas kerjasama strategik yang memanfaatkan kededua negara.
Malaysia dan Brazil sepakat menggunakan pentas Asean dan blok ekonomi Brics untuk memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka peluang baru, seiring dengan peranan Malaysia sebagai pengerusi Asean pada 2025 dan Brazil sebagai pengerusi Brics pada 2025.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pemimpin kededua negara dalam pertemuan dua hala di luar Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Forte de Copacabana, Brazil, Datuk Anwar dan Presiden Brazil, Encik Luiz Inácio Lula da Silva, mengalu-alukan peluang meneroka inisiatif bersama pada 2025.
Ia sebagai simbol pemimpin kededua negara mengiktiraf peranan Malaysia mempengerusikan Asean dan Brazil mempengerusikan Brics serta Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-30 (COP30).
“Kedua-dua pemimpin berjanji untuk bekerjasama ke arah sistem multilateral yang diperbaharui berasaskan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang antarabangsa.
“Kededua pemimpin menyedari keperluan tadbir urus global untuk lebih fokus, demokratik, berkesan, telus, dan bertanggungjawab, mencerminkan realiti serta cabaran sosial, ekonomi, dan politik abad ke-21 selain peningkatan kepentingan negara-negara Selatan Global,” menurut kenyataan itu.
Datuk Anwar berkata antara bidang yang berupaya diteroka dan diperluaskan kerjasama termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan, teknologi, industri semikonduktor dan pendidikan, dengan Brazil menjadi antara tonggak utama dalam ekonomi Amerika Latin.
“Brazil sudah tentu antara negara penting dalam ekonomi Amerika Latin dan turut menyumbang kepada pemulihan ekonomi di rantau ini,” kata Datuk Anwar dalam pertemuan bersama 34 pemimpin industri daripada 20 syarikat terkemuka dan persatuan perniagaan Brazil, sempena lawatan rasminya ke Brazil.
Datuk Anwar juga berbesar hati dengan kesudian Encik Luiz menerima undangan beliau menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur pada 2025 sebagai Tetamu Pengerusi.
“Undangan itu diterima dengan sukacita oleh Presiden Luiz,” kata Datuk Anwar, yang juga Menteri Kewangan Malaysia, sambil menzahirkan ucapan terima kasih kepada Encik Luiz kerana mengundang beliau menghadiri Sidang Kemuncak G20 itu.
Datuk Anwar turut menegaskan bahawa kerjasama dengan negara-negara selatan global, seperti Brazil, dapat membuka lebih banyak peluang bagi syarikat tempatan mendapat akses kepada pengetahuan, penyelidikan, dan kepakaran dalam bidang teknologi tinggi, terutamanya semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).
Malaysia, bersama 16 negara lain, termasuk Chile, Qatar, Mesir, Singapura, Sepanyol, Amiriah Arab Bersatu, dan Vietnam, menyertai Sidang Kemuncak G20 sebagai negara jemputan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg