Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia dapat bekalan elektrik dari S’pura, Thai ketika kecemasan

Oct 30, 2025 | 1:28 PM
M’sia, tenaga, alternatif, Thailand, Singapura
Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Singapura dan Thailand telah mengeksport bekalan elektrik masing-masing pada kapasiti 500 megawatt (MW) dan 300 MW ke Malaysia sewaktu insiden gangguan bekalan elektrik pada 15 Oktober lalu, dedah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata inisiatif itu adalah antara bukti keberkesanan pelaksanaan Grid Kuasa Asean (APG) yang dapat menyokong sistem bekalan Malaysia pada waktu kritikal atas semangat kerjasama serantau.

“Pelaksanaan APG adalah satu inisiatif amat penting bagi rantau Asean yang membolehkan keselamatan (keterjaminan) bekalan Malaysia dan negara serantau dapat dipertingkatkan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat pada 29 Oktober.

Media Malaysia sebelum ini melaporkan gangguan bekalan elektrik besar dilaporkan berlaku di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang pada petang 15 Oktober, akibat gangguan di Loji Janakuasa Edra Power Plant, di Melaka.

Antara kawasan yang terjejas ialah di Petaling Jaya, Damansara Heights, Mont Kiara, serta beberapa bahagian lain di Kuala Lumpur.

Selain itu, Datuk Fadillah berkata kerajaan akan melancarkan Program Solar Berskala Besar (LSS 6) pada awal 2026.

“Program LSS 6 adalah kesinambungan LSS 5 dan 5+ yang telah menyumbang sebanyak 3.9 gigawatt dengan jumlah pelaburan RM12 bilion ($3.71 bilion), selain menyediakan sebanyak 23,400 peluang pekerjaan.

“Kerajaan juga akan memperkenalkan kuota tambahan 300 MW bagi biogas, biojisim dan hidro kecil di bawah feed-in tariff (tarif galakan) yang dijangka beroperasi seawal 2028, manakala Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baru Korporat (CRESS) pula dijangka dilaksanakan dengan kapasiti penjanaan 500 MW,” katanya.

Datuk Fadillah berkata kerajaan Malaysia juga secara dasarnya bersetuju tenaga nuklear menjadi salah satu sumber penjanaan tenaga elektrik negara.

“Dari perspektif ekonomi, walaupun pembangunan loji janakuasa nuklear memerlukan kos permulaan atau modal tinggi, namun kos penjanaan elektrik jangka panjang (COE) adalah kompetitif dengan jangka hayat operasi yang panjang dan menjangkau tempoh 40-60 tahun.

“Sebarang keputusan kerajaan mengenai pembinaan loji janakuasa nuklear hanya akan dibuat setelah semua prasyarat keselamatan, pengawal seliaan, teknikal, dasar, ekonomi dan sosial dipenuhi sepenuhnya bagi menjamin kepentingan dan keselamatan negara,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg