PUTRAJAYA: Malaysia menggesa pihak-pihak berkaitan untuk menerima dan berusaha ke arah pelaksanaan penuh cadangan terkini oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, untuk menamatkan kekejaman Israel di Gaza.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan, berkata cadangan itu adalah jalan ke hadapan terbaik untuk menamatkan malapetaka yang sedang berlaku di Gaza dan pengunduran penuh tentera Israel dari Wilayah Palestin.
“Malaysia secara konsisten menggesa gencatan senjata yang kekal dan berkesan untuk segera menghentikan pembunuhan rakyat Palestin dan konflik di Gaza.
“Dalam konteks ini, cadangan tiga fasa yang diumumkan oleh Presiden Joe Biden untuk gencatan senjata sepenuhnya, pembebasan tawanan daripada kededua belah pihak, usaha ke arah pengakhiran kekal permusuhan dan pelan pembinaan semula menyeluruh untuk Palestin adalah langkah ke arah yang betul,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.
Malaysia juga menggesa masyarakat antarabangsa untuk memberi keutamaan kepada bantuan kemanusiaan segera dan tanpa halangan kepada rakyat Palestin serta pembinaan semula Gaza.
Ia menekankan bahawa sokongan teguh dan solidariti penuh Malaysia dengan rakyat Palestin tetap tidak berbelah bahagi, termasuk hak mereka untuk menentukan nasib sendiri dan pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu kotanya.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan bahawa Biden pada 31 Mei telah membentangkan perjanjian tiga fasa yang dicadangkan oleh Israel kepada wakil Palestin, Hamas yang menurutnya akan menamatkan permusuhan di Semenanjung Gaza yang terkepung dan memastikan pembebasan tawanan yang ditahan di enklaf (sebahagian daripada wilayah sesebuah negara yang dikelilingi seluruhnya oleh wilayah negara asing) pantai itu.
Hamas dilaporkan berkata akan memberi respons positif kepada sebarang cadangan yang merangkumi gencatan senjata kekal, penarikan penuh dari Semenanjung Gaza, usaha pembinaan semula, kepulangan orang yang dipindahkan dan penyelesaian pertukaran tawanan yang menyeluruh.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini menggesa Amerika mengambil apa juga langkah yang perlu untuk menghentikan kekejaman di Palestin, termasuk menggesa negara itu berhenti membekalkan senjata kepada Israel.
Beliau menegaskan bahawa Amerika mesti memainkan peranan sewajarnya dengan mempengaruhi mana-mana negara sama ada sekutu ataupun seteru bagi menghentikan kekejaman Zionis ke atas Palestin.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg