Topik diikuti
Pergi ke BHkuM’sia jamin bekalan bahan api cukup walau bekalan sejagat kian susut
M’sia jamin bekalan bahan api cukup walau bekalan sejagat kian susut
M’sia jamin bekalan bahan api cukup walau bekalan sejagat kian susut
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia memberi jaminan kepada rakyatnya bahawa bekalan bahan api negara mencukupi dan mampu bertahan untuk berdepan sebarang kegenjotan yang diramal berlaku sepanjang musim panas di Hemisfera Utara.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata Malaysia sudah melaksanakan persiapan menyeluruh bagi mendepani musim panas yang dijangka menyaksikan risiko kekurangan bahan api pada kadar rekod (yang pernah direkodkan) kerana kehilangan besar sumber bekalan yang melalui Selat Hormuz.
Namun, beliau, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, tidak memperincikan jangkaan bagi bekalan sedia ada mampu bertahan.
“Petronas sudah meneliti semua kemungkinan (sumber bahan api) dan saya percaya mereka berjaya mendapatkan bekalan untuk kegunaan negara.
“Bekalan bahan api setakat ini mencukupi dan kita bersedia berdepan sebarang kemungkinan yang diramal berlaku sepanjang musim panas di Hemisfera Utara.
“Namun kita belum terima laporan mengenai jangkaan bekalan sedia ada mampu bertahan sehingga bila dengan perkara ini akan diperincikan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara minggu depan,” katanya lapor Harian Metro.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian Strategik antara Mikro MSC Berhad dengan Hong Kong Cospower Technology Co Ltd, di Kuala Lumpur, pada 3 Jun.
Media sebelum ini melaporkan inventori bahan api sejagat semakin menyusut berikutan operasi Selat Hormuz tergendala akibat perang dilancarkan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran, sejak 28 Februari lalu.
Rentetan itu, beberapa organisasi antarabangsa termasuk Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan Bank Dunia memberi amaran risiko kekurangan bekalan pada musim panas di Hemisfera Utara jika lalu lintas maritim yang strategik itu tidak segera kembali biasa.
Mereka memberi amaran penyusutan pantas rizab dunia secara berterusan bakal meningkatkan risiko ke atas keselamatan bekalan bahan api, kestabilan pasaran dan daya tahan ekonomi secara keseluruhan jika Selat Hormuz tidak pulih sebelum kemuncak permintaan musim panas itu.
Selain itu, lonjakan harga tenaga dan baja akibat konflik di Timur Tengah itu memberi kesan tidak seimbang kepada negara berpendapatan rendah, sambil menjelaskan harga baja lebih tinggi amat membimbangkan ketika banyak negara sedang memasuki musim menanam.
Iran sebelum ini menyekat Selat Hormuz yang biasanya digunakan bagi mengeksport kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas asli cecair dunia, sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika-Israel.
