SPH Logo mobile
Langgan|

M’sia kekal harga subsidi petrol RON95, lonjakan harga diesel pula tekan pemain industri

M’sia kekal harga subsidi petrol RON95, lonjakan harga diesel pula tekan pemain industri

Kerajaan buat penyesuaian berperingkat ke atas harga bahan api lain, selaras trend kenaikan harga minyak mentah dunia
Mar 26, 2026 | 4:21 PM

M’sia kekal harga subsidi petrol RON95, lonjakan harga diesel pula tekan pemain industri

M’sia, kenaikan harga petrol, diesel, RON95
Feri penumpang yang dikendalikan Ferry Line Ventures Sdn Bhd mengurangkan perjalanan daripada lima kepada tiga perjalanan sehari, berikutan kenaikan harga diesel industri. - Foto NSTP

Kerajaan Malaysia telah mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter ($0.64 sen), walaupun harga minyak mentah sejagat meningkat lebih 40 peratus, melebihi AS$100 ($128.32) setiap tong akibat konflik berlarutan di Asia Barat.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan (MOF), dalam satu kenyataan, berkata kerajaan telah melaksanakan penyesuaian secara berperingkat ke atas harga bahan api lain selaras dengan trend kenaikan harga minyak mentah dunia sejak akhir Februari 2026.

“Dalam keadaan ini, Kerajaan Madani mengekalkan harga RON95 bersubsidi untuk melindungi rakyat, manakala harga bahan api lain diselaraskan secara berperingkat selaras dengan kenaikan harga minyak dunia sejak akhir Februari 2026.

“Selaras dengan Mekanisme Harga Automatik (APM), harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April 2026 ialah RON97 – RM5.15 seliter (harga 25 Mac 2026: RM4.55 seliter); RON95 tanpa subsidi – RM3.87 seliter (harga 25 Mac 2026: RM3.27 seliter).

“Selain itu, harga runcit diesel bagi kawasan Semenanjung ialah RM5.52 seliter (harga 25 Mac 2026: RM4.72 seliter); diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan pula sebanyak RM2.15 seliter (harga 25 Mac 2026: RM2.15 seliter),” kata MOF dalam kenyataan itu.

MOF turut mengambil beberapa langkah bagi melindungi rakyat dalam keadaan peningkatan harga minyak dunia sekarang ini, antaranya termasuk mengekalkan harga diesel bagi pengangkutan awam dan logistik darat pada harga RM2.15 seliter dengan beban subsidi ditanggung kerajaan lebih RM3 bilion sebulan.

“Bantuan diesel individu dan agri-komoditi dipertingkatkan kepada RM300 pada Mac 2025, berbanding RM200 sebulan sebelum ini.

“Kawalan penjualan turut diperketat, dengan larangan penjualan RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing terus berkuat kuasa, manakala pembelian bahan api melebihi 20 liter di luar tangki tanpa permit khas juga tidak dibenarkan.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan kawalan ke atas pembelian diesel terutama di Sabah, Sarawak dan Labuan, bagi menangani risiko ketirisan,” ujar MOF.

Sementara itu, beberapa pengusaha pengangkutan, termasuk perkhidmatan bas dan feri yang bergantung kepada diesel, semakin merasai tekanan akibat peningkatan harga bahan api itu kepada RM5.52 seliter.

Berita Harian Malaysia (BHM) melaporkan, perkhidmatan feri di Langkawi, Kedah, telah mengurangkan perjalanan mereka daripada lima kepada tiga kali sehari, manakala kira-kira 100 pengusaha bas pelancongan di Zon Utara pula dilaporkan berdepan risiko menutup operasi akibat kenaikan harga diesel dan kos operasi, selain tempahan yang berkurang.

Pengurus Besar, Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line), Dr Baharin Baharom, berkata langkah drastik itu terpaksa diambil berikutan kenaikan harga diesel industri melebihi 100 peratus yang meningkatkan kos operasi dan memberi tekanan kepada pengusaha feri di Langkawi.

“Langkah mengurangkan perjalanan daripada lima kepada tiga perjalanan sehari bermula 25 Mac adalah langkah perlu bagi membolehkan syarikat terus beroperasi,” katanya dalam kenyataan.

Pengerusi Gabungan Pengusaha Bas Persiaran Zon Utara, Encik Ahmad Ruslan Abdul Latiff, pula dilaporkan berkata semua syarikat pengusaha bas persiaran di bawah naungannya dari Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis terbabit dengan sektor pelancongan.

Beliau mendakwa sebahagian besar pengusaha tidak dapat menjalankan perniagaan akibat kenaikan harga diesel kerana tempahan daripada agensi pelancongan, sekolah, Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan organisasi semakin berkurangan.

“Kenaikan harga diesel memberi kesan besar terhadap kos operasi, sekali gus menjejas daya tahan industri ini,” katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg