Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia laksana pelan pemulihan bagi dua bekas pengganas yang dibebaskan AS

Dec 20, 2024 | 2:13 PM
Mohammed Nazir Lep (kiri) dan Mohammed Farik Amin yang ditahan di Guantanamo Bay, Cuba, sejak 2006, kini sudah dibebaskan dan kembali ke Malaysia sejak 18 Disember.
Mohammed Nazir Lep (kiri) dan Mohammed Farik Amin yang ditahan di Guantanamo Bay, Cuba, sejak 2006, kini sudah dibebaskan dan kembali ke Malaysia sejak 18 Disember. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Malaysia akan melaksanakan pelan penyepaduan yang menyeluruh untuk memastikan kebajikan dua rakyatnya yang diserahkan Amerika Syarikat, selepas ditahan di pusat tahanan, Guantanamo Bay, di Cuba selama 18 tahun sejak 2006.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pelan itu dirancang untuk memastikan pemulihan yang menyeluruh dan membolehkan individu besepadu semula ke dalam masyarakat.

Menurutnya, program itu disusun secara terperinci melalui tiga fasa utama yang setiap satu menitikberatkan keseimbangan antara pemulihan individu dengan keharmonian sosial.

“Sebagai pelengkap kepada pelan ini, mekanisme pemantauan rapi turut dirangka untuk memastikan keberkesanan pelaksanaannya.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan pemantauan berterusan, termasuk lawatan berkala bagi menilai kemajuan pemulihan serta memastikan kebajikan subjek terus terjaga,” katanya dalam hantaran di Facebook, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Saifuddin berkata pendekatan dilaksanakan bukan saja mencerminkan komitmen teguh kerajaan terhadap kesejahteraan semua warga, malah turut menonjolkan nilai Malaysia Madani yang mengutamakan peluang kedua dan keadilan sosial.

“Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani prihatin dan ihsan akan kebajikan dua warganegara Malaysia yang kembali dari Kem Tahanan Guantanamo Bay,” katanya.

Berdasarkan infografik yang dikongsi Datuk Saifuddin di Facebooknya, pelan penyepaduan itu meliputi tiga fasa iaitu peralihan, penyepaduan keluarga serta kelangsungan hidup.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata dua rakyat Malaysia itu – Mohammed Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep – sudah tiba di tanah air pada 18 Disember dan akan menjalani proses pemulihan terlebih dahulu sebelum dibenarkan kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

“Kededua individu ini diterima dalam keadaan baik dan sihat. Mereka sangat bersyukur dapat kembali ke tanah air dan akhirnya ke pangkuan keluarga masing-masing.

“Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengarahkan supaya mereka menjalani proses penilaian dan seterusnya memasuki fasa pemulihan secara menyeluruh sebelum disepadukan ke dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Mohammed Nazir dan Mohammed Farik berdepan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera Amerika, termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar, mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta, Indonesia, pada Ogos 2003.

Mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan Agensi Risik usat (CIA) Amerika sebelum dipindahkan ke Guantanamo Bay pada 2006.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg