KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, giat menjalankan misi meningkatkan perdagangan dan pelaburan Asean yang beliau percaya pada masa ini tidak mencukupi, sedang Malaysia bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan Pengerusi Asean pada 2025.
Sehubungan itu, Datuk Anwar berkata beliau akan menumpukan usahanya memperkasa Grid Tenaga Asean dan terus mempergiatkan pendigitalan yang lebih menyeluruh dalam kalangan negara serantau.
Beliau juga akan menumpukan usahanya sebagai pengerusi perkumpulan serantau itu untuk mengukuhkan hubungan dengan rakan tradisional Asean yang terdiri daripada negara maju iaitu China, Jepun dan Korea Selatan.
Inisiatif itu akan menjadi tumpuan utama beliau untuk menjadikan Asia Tenggara sebuah rantau ekonomi yang lebih berdaya maju, katanya dalam ucapan khas di Universiti Kebangsaan Seoul, Korea Selatan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Datuk Anwar berkata pendekatan sedemikian penting berdasarkan status Asean sebagai rantau ekonomi yang paling aman dan dinamik di dunia yang potensi ekonominya perlu direalisasikan sepenuhnya.
Oleh itu, beliau berkata mengambil alih jawatan Pengerusi Asean pada 2025 adalah tepat pada masanya berikutan Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk memperkukuh perdagangan dan pelaburan serantau.
Datuk Anwar, yang juga Menteri Kewangan Malaysia, berkata kerjasama dan hubungan kerja antara 10 pemimpin Asean juga amat baik, sesuatu yang memberikan kelebihan untuk membuat keputusan yang dicapai secara bersama dan meningkatkan hubungan perdagangan kepada tahap lebih tinggi.
Dalam bekerjasama dengan China, Jepun dan Korea Selatan, katanya, Korea Selatan adalah rakan tradisional penting dan Seoul juga telah mencapai kejayaan besar.
Datuk Anwar menekankan bahawa dengan lebih banyak penglibatan dengan ketiga-tiga negara ini berdasarkan persahabatan dan kepercayaan, Asean akan lebih mampu untuk menangani isu lebih rumit.
Menegaskan bahawa Malaysia bertuah kerana menjadi pilihan kepada syarikat antarabangsa utama seperti Oracle, AWS, Google, Microsoft, Nvidia dan Infineon, sebagai hab kepada aktiviti perniagaan mereka.
Ini membolehkan Malaysia menjadi pusat serantau untuk data dan kecerdasan buatan (AI) dan hab utama untuk sektor semikonduktor di peringkat sejagat.
“Kelebihan kita telah membolehkan negara menjalin hubungan ekonomi dengan pelbagai negara (seperti) Amerika Syarikat, Eropah, China, Korea Selatan dan Jepun,” kata Datuk Anwar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg