KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan kerugian bernilai lebih RM1.5 bilion ($450 juta) dengan lebih 35,000 kes jenayah siber membabitkan penipuan kewangan dalam talian sepanjang 2024.
Jumlah itu sekali gus mencatatkan peningkatan sejak 2022.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sejumlah 35,368 kes dilaporkan pada 2024, iaitu meningkat 2.53 peratus berbanding 2023 dengan kerugian berjumlah RM1.5 bilion.
“Jumlah kes jenayah dalam talian pada 2022 pula adalah 25,479 kes dengan kerugian berjumlah RM851.1 juta.
“Jumlah ini terus menunjukkan peningkatan dalam tempoh dua tahun berturut-turut dengan peningkatan 35.4 peratus iaitu 34,495 kes pada 2023 dengan jumlah kerugian RM1.21 bilion,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen, lapor Kosmo!.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Batu Gajah, Perak, dari Pakatan Harapan, Encik V Sivakumar, yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan perkembangan terkini jenayah siber dan penipuan dalam talian di Malaysia.
Tambah Datuk Saifuddin Nasution, kementerian menjangkakan bilangan kes dan kerugian adalah lebih tinggi daripada perangkaan terbabit dengan mengambil kira golongan mangsa yang tidak membuat laporan kepada polis.
Katanya antara usaha dilaksanakan kementerian dan PDRM dalam mengekang jenayah penipuan dalam talian adalah melalui portal Semakmule 2.0 bagi membantu masyarakat menyemak status akaun bank, nombor telefon serta syarikat yang mungkin terbabit dengan penipuan.
“Portal ini juga bekerjasama dengan institusi kewangan untuk menyediakan maklumat yang tepat dan terkini mengenai akaun yang disyaki terbabit dengan penipuan.
“Ia sekali gus meningkatkan keselamatan pengguna dan mengurangkan insiden penipuan dalam talian,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan rekod PDRM sehingga 21 Januari lalu, pangkalan data sistem Semakmule 2.0 merekodkan sebanyak 33,453,578 jumlah pelawat.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 238,006 akaun bank, 191,960 nombor telefon dan 7,291 nama syarikat direkodkan hasil daripada maklumat orang ramai serta mangsa penipuan.
“Selain itu kita juga menjalinkan kerjasama dari aspek perkongsian maklumat dan risikan seperti Polis Antarabangsa (Interpol) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika serta kerjasama melalui Memorandum Persefahaman Jenayah Rentas Sempadan dengan pelbagai negara.
“Begitu juga kerjasama di peringkat Asean membabitkan PDRM dalam Asean-Singapore Cybersecurity Center of Excellence (ACCP) bagi mempelajari pengetahuan mengenai keselamatan siber dan pola terkini jenayah siber,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg