Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia tawar pengampunan tanpa didakwa bagi pendatang asing pulang

Feb 1, 2024 | 1:09 PM
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengumumkan pelaksanaan program khas untuk membolehkan pendatang asing tanpa izin di Malaysia pulang tanpa dikenakan tindakan pendakwaan.
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengumumkan pelaksanaan program khas untuk membolehkan pendatang asing tanpa izin di Malaysia pulang tanpa dikenakan tindakan pendakwaan. - Foto FACEBOOK SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia akan melaksanakan Program Pemulangan Migran mulai 1 Mac untuk memberi peluang bagi pendatang asing tanpa izin (Pati) pulang ke negara asal mereka tanpa dikenakan tindakan pendakwaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri pada 31 Januari.

Menerusi program itu, Pati akan dihantar pulang selepas membayar denda kompaun antara RM300 ($84.74) hingga RM500 mengikut jenis kesalahan imigresen yang dilakukan mereka.

Kesalahan yang dikenakan denda kompaun ialah memasuki Malaysia tanpa pas (RM500), tinggal di Malaysia melebihi tempoh pas (RM500) dan melanggar syarat pas (RM300).

“Mereka akan dibenarkan pulang setelah membayar kompaun dan akan dikecualikan daripada proses pendakwaan.

“Program ini bersifat pengampunan pulang yang kita akan hebahkan supaya diguna pakai mereka yang terlibat untuk memudahkan penghantaran pulang,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Kerajaan Malaysia sebelum ini memperkenalkan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang memberi peluang kepada majikan untuk memohon pas bagi pekerja asing tanpa izin untuk mengisi keperluan tenaga kerja mereka.

Program itu tamat pada 31 Disember 2023.

Bagaimanapun, pada masa ini masih ramai warga asing yang tinggal di Malaysia tiada dokumen sah dan tidak memenuhi keperluan tenaga kerja.

Datuk Saifuddin berkata mesyuarat jemaah menteri juga bersetuju agar dilanjut pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing baru bagi sektor formal.

“Ini kerana jumlah kuota yang diluluskan dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 yang dilaksanakan mampu memenuhi keperluan pekerja asing.

“Pembekuan permohonan kuota telah bermula pada 18 Mac 2023 dan akan berterusan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Beliau menambah bahawa tiada keperluan untuk membatalkan pembekuan itu memandangkan tenaga asing yang diperlukan untuk sektor penting sudah mencukupi, termasuk tenaga kerja asing yang bakal diperolehi daripada Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

“Selain itu, Jemaah Menteri pada mesyuarat pada hari ini juga bersetuju Pusat Kelulusan Setempat (One Stop Centre – OSC) bagi pengurusan pekerja asing diwujudkan semula dan ditempatkan di KDN (Kementerian Dalam Negeri),” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg