KUALA PILAH: Dua pelajar lelaki berusia 16 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Pilah, Negeri Sembilan, pada 8 Oktober, atas pertuduhan membunuh seorang pelajar berusia 14 tahun di asrama sebuah sekolah sukan di Kuala Pilah, pada akhir September lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kededua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslinda Razali, memandangkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kededua remaja itu dituduh membunuh pelajar Tingkatan Dua, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14 tahun, antara 7.30 malam hingga 8.50 malam di asrama sebuah sekolah di Kuala Pilah pada 25 September lalu.

Dua pelajar Tingkatan Empat itu didakwa melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, boleh disebat minimum 12 kali.

Prosiding yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, dijalankan tanpa kehadiran orang awam di dalam kamar berikutan kedua-dua tertuduh adalah individu bawah umur.

Sementara itu, Peguam Datuk Hanif Hassan, yang mewakili kededua tertuduh ketika ditemui di luar kamar, berkata mahkamah menetapkan tarikh 7 Disember bagi sebutan laporan patologi, laporan kimia dan laporan forensik.

Katanya pihak pembelaan memohon kepada mahkamah untuk satu arahan supaya kedua-dua anak guamnya dihantar ke pusat koreksional, lapor Harian Metro.

“Ia sementara menunggu tarikh yang akan datang supaya satu intervensi (bantuan sokongan) dalam aspek kaunseling diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Ia juga bagi membantu kedua-dua penama daripada segi mental dan emosi sesuai dengan peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak (2001),” katanya.

Datuk Hanif berkata pihaknya akan memastikan kedua-dua tertuduh mendapat pembelaan yang sewajarnya di bawah undang-undang mengikut Akta Kanak-Kanak dan Kanun Prosedur Jenayah.

Pada 26 September lalu, media Malaysia melaporkan, Muhammad Idlan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di asrama sekolah sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.

Muhammad Idlan kemudiannya disahkan meninggal dunia dipercayai akibat dibuli dan menyusuli itu, polis menahan reman suspek utama iaitu pelajar lelaki berusia 16 tahun bermula 26 September hingga 1 Oktober lalu.

Seorang lagi suspek direman bermula 28 September hingga 3 Oktober lalu.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan beberapa pelajar tampil mendedahkan pernah menjadi mangsa buli suspek pertama berusia 16 tahun, menjadikan keseluruhan lima pelajar mendakwa dibuli, menyusuli kes kematian Muhammad Idlan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata siasatan mendapati suspek pertama dan kedua serta mangsa adalah rakan sekelas bagi aktiviti sukan memanah.

Beliau dilaporkan berkata siasatan awal mendapati suspek kedua telah menyepak mangsa sebanyak enam kali ketika pertemuan pertama sebelum memanggil mangsa untuk berjumpa dengan suspek pertama.