Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nahas di Johor: Pemandu kereta swasta, penumpang warga S’pura maut

Jul 21, 2025 | 11:07 AM
Malaysia, Johor, pemandu kereta swasta, penumpang, kemalangan, nahas
Pemandu kenderaan swasta dan penumpang warga Singapura maut dalam kemalangan di Kilometer 9, Jalan Johor Bahru–Air Hitam, Johor, pada pagi 20 Julai. - Foto KOSMO!

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu kenderaan swasta dan penumpangnya, warga Singapura maut selepas kereta jenis Perodua Bezza yang dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan lori di Kilometer 9, Jalan Johor Bahru–Air Hitam, Johor, pada pagi 20 Julai.

Dalam nahas kira-kira 11.25 pagi itu, pemandu kereta dan penumpangnya cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Penolong Pesuruhjaya Balveer Singh Mahindar Singh, berkata ketika kejadian, kereta dipandu lelaki tempatan berusia 48 tahun itu dalam perjalanan menuju ke arah Skudai.

Sebaik sahaja tiba di lokasi, katanya kereta itu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar belakang sebuah lori menyebabkan kededua mangsa cedera parah dan meninggal dunia.

“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Penumpang lelaki, warga Singapura berusia 27 tahun, turut cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.

“Bagaimanapun, pemandu lori tidak mengalami kecederaan,” katanya, lapor Kosmo!.

Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan di Sarawak, seorang lelaki warga emas maut, manakala empat lagi terselamat selepas kenderaan yang mereka naiki terjunam ke dalam gaung di Batu 24, Jalan Musah Kajah di Song, Kapit, pada 20 Julai malam.

Mangsa, Encik Berain Sinau, 80 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian selepas dihempap kenderaan yang terbalik.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.50 malam.

Menurutnya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song diarah ke tempat kejadian menggunakan dua pikap melalui jalan balak dan tiba pada 9.23 malam di lokasi yang terletak 46 kilometer dari balai.

Beliau berkata bomba dan polis terpaksa meminta bantuan jentolak syarikat pembalakan berdekatan tempat kejadian bagi membuka laluan untuk menarik kenderaan itu ke tempat selamat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg