Topik diikuti
Pergi ke BHkuNajib akan jalani baki hukuman penjara di rumah keluarga di KL
Umno berjaya kutip dana RM10j bantu Najib lunas denda, bakal kembali ke penjara pada 2028 jika gagal dapat penangguhan hukuman 1MDB
Najib akan jalani baki hukuman penjara di rumah keluarga di KL
KUALA LUMPUR: Hukuman tahanan rumah bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, tidak akan terjejas oleh keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 14 Oktober, yang menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman penjara 15 tahun dalam kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Perkara itu ditegaskan peguam mewakili bekas Presiden Umno itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang berkata Encik Najib tetap boleh menjalani baki hukuman dalam kes SRC International di bawah tahanan rumah, tertakluk kepada pematuhan syarat pengampunan, termasuk pembayaran denda RM50 juta ($15.73 juta).
Beliau berkata Encik Najib, 73 tahun, perlu kembali ke penjara pada 2028, sekiranya gagal mendapatkan penangguhan pelaksanaan hukuman dalam kes 1MDB menjelang tempoh itu.
“Ia tidak menjejaskan tahanan rumah. Apabila anak guam saya membayar RM50 juta, beliau boleh menjalani hukuman kes SRC sehingga 2028.
“Hanya pada 2028, jika beliau masih gagal mendapatkan penangguhan hukuman dalam kes 1MDB selepas menjalani tahanan rumah, barulah beliau akan kembali ke penjara,” katanya, lapor New Straits Times.
Tan Sri Shafee turut berkata Encik Najib sudah menerima perintah tahanan rumah berkenaan, termasuk lampiran yang mengandungi syarat dan mekanisme pelaksanaannya.
Encik Najib katanya akan menghabiskan baki hukuman penjara bagi kes SRC bersama keluarga di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur, menerusi perintah tahanan rumah itu.
Bagaimanapun, Tan Sri Shafee berkata Encik Najib tidak boleh mendedahkan kandungan perintah berkenaan selepas dimaklumkan Jabatan Penjara supaya tidak berbuat demikian, bagi mengelakkan spekulasi orang ramai dan media.
Pada 18 September lalu, Sultan Ibrahim bersetuju memberikan pengampunan bersyarat kepada Encik Najib, yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC, sebagai tahanan rumah.
Beliau akan menghabiskan hukuman itu sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-64.
Dalam masa yang sama, Umno sedang mengusahakan kutipan dana untuk membantu Encik Najib melunaskan denda RM50 juta itu, dengan laporan terakhir pada 28 September menyatakan hampir RM10 juta telah berjaya dikumpul.
Ketika ini, Encik Najib masih menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor, selepas sabitan dalam kes SRC dikekalkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.
Mahkamah Persekutuan ketika itu mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Encik Najib.
Namun, mesyuarat Lembaga Pengampunan dipengerusikan Agong terdahulu, Sultan Abdullah, memberikan pengurangan hukuman penjara kepada enam tahun, dan denda kepada RM50 juta.