Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Najib bakal bentang hujah di Mahkamah Tinggi bagi kuat kuasa titah adendum

Aug 13, 2025 | 1:58 PM
Kes Najib, M’sia, Peguam Negara, titah adendum
Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Tun Razak. - Foto NSTP

PUTRAJAYA: Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Tun Razak akhirnya akan membentangkan hujah di Mahkamah Tinggi dalam usaha memaksa kerajaan menguatkuasakan titah adendum yang membenarkannya menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada 13 Ogos mengesahkan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan pada 6 Januari, yang membenarkan Encik Najib mengemukakan bukti tambahan dan memerintahkan Mahkamah Tinggi mendengar permohonan semakan kehakimannya.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, mendapati walaupun Peguam Negara (AG) berhujah titah adendum atau perintah tambahan itu wujud, kewujudan tersebut tidak secara automatik menjadikan perintah itu sah.

Panel hakim berkata kesahihan titah tambahan itu hanya boleh ditentukan dalam perbicaraan penuh sekiranya kebenaran diberikan.

“Buat masa ini, titah tambahan itu wujud dan statusnya, sama ada sah atau benar, perlu dipastikan dalam perbicaraan penuh.

“Kami tidak menganggap wajar atau adil untuk memberi sebarang pandangan mengenai perkara ini pada peringkat sekarang,” kata Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof, yang membacakan keputusan panel hakim pada 13 Ogos di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, lapor Malaysiakini.

Prosiding itu dipengerusikan Datuk Zabariah bersama Tan Sri Hasnah (yang mengetuai panel) dan Hakim, Datuk Hanipah Farikullah.

Permohonan Encik Najib, yang difailkan pada April 2024, bertujuan mendapatkan perintah bagi memaksa kerajaan dan enam pihak lain mengesahkan kewujudan titah tambahan diraja yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di rumah, masih berada di peringkat kebenaran.

Responden atau enam pihak yang dinamakan dalam permohonan itu ialah AG; Kementerian Dalam Negeri; Ketua Pengarah Jabatan Penjara; Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan; Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi); serta Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang.

Pada prosiding sama, AG turut gagal mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Encik Najib untuk mengemukakan bukti tambahan bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya.

Bukti terbabit ialah surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anak Encik Najib, Datuk Mohamad Nizar, bertarikh 4 Januari 2025, yang mengesahkan kewujudan titah adendum berkenaan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai 2024, menolak permohonan mantan Presiden Umno itu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ke atas responden berkenaan.

Titah adendum terbabit dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah, pada 29 Januari 2024, yang membolehkan mantan Ahli Parlimen (AP) Pekan (Pahang) itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta ($12.76 juta).

Sementara itu di luar pekarangan Istana Kehakiman Putrajaya, ratusan penyokong hadir dan menyambut ketibaan Encik Najib yang menaiki kenderaan Jabatan Penjara dengan laungan ‘hidup boss-ku’, sejak 8 pagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg