KUALA LUMPUR: Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) sebagai urus setia kepada Lembaga Pengampunan mengesahkan bahawa ia tidak menerima sebarang dokumen tambahan atau adendum daripada pihak Istana Negara.
Menurut kenyataan BHEUU, JPM, tiada dokumen tambahan yang berada dalam fail atau rekod rasmi mereka, berkait perintah supaya mantan Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, dibenarkan menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.
“BHEUU, JPM juga tidak menerima sebarang pemakluman atau arahan rasmi daripada pihak Istana Negara berhubung perkara ini.
“BHEUU, JPM menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai mengenai kedudukan atau peranan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar dan berpotensi mengundang tindakan sewajarnya.
“Langkah ini penting bagi memastikan integriti Lembaga Pengampunan terpelihara serta maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada 10 Januari, lapor Malaysiakini.
BHEUU, JPM turut memaklumkan bahawa mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya kali ke-61 yang telah diadakan pada 29 Januari 2024, dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, pada 10 Januari turut menafikan terlibat dalam menyembunyikan titah adendum yang membolehkan Encik Najib menjalani hukuman tahanan di rumah.
“Saya sendiri seperti juga menteri-menteri lain, tidak melihat kepada apa yang disebut sebagai dokumen adendum itu dan saya tidak pun menyembunyikan apa-apa,” katanya.
Terdahulu, mantan Menteri Kesihatan merangkap mantan Ketua Pemuda Umno, Encik Khairy Jamaluddin, menyifatkan gesaan pihak tertentu supaya Kabinet Kerajaan Perpaduan meletak jawatan selepas didakwa menyorok titah adendum disifatkan sebagai melampau dan pramatang.
Beliau sebaliknya berkata kerajaan seharusnya menjawab isu kewujudan titah adendum sejak awal lagi.
“Saya rasa ini sikit ekstremlah (gesa Kabinet letak jawatan). Walaupun kerajaan kena jawab kenapa adendum ini disorok, tapi saya rasa untuk minta kerajaan letak jawatan atas isu ini adalah pramatang dari segi moral dan undang-undang.
“Dari segi politiknya juga saya rasa ini tidak existential threat (mewujudkan ancaman). Ini bukan satu ancaman kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam program Podcast Keluar Sekejap disiarkan pada 9 Januari, lapor Berita Harian Malaysia.
Pada 6 Januari, Encik Najib menang dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan Putrajaya untuk meneruskan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, bagi membuktikan kewujudan titah adendum dan melaksanakan perintah tambahan untuk beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.
Kes ini akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 Januari.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg