KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, mendakwa beliau dan kerajaan yang diterajuinya telah dijatuhkan oleh pembangkang ketika itu yang bekerjasama dengan Amerika Syarikat di bawah pimpinan parti Demokrat.
Dakwa Encik Najib, usaha beliau bersama peguamnya untuk mendapatkan dokumen berkait 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk membela diri bagi membersihkan namanya telah mendapat halangan birokrasi daripada mahkamah Amerika sejak 2021.
Beliau mendakwa semua itu bermotifkan politik, semata-mata mahu menjatuhkan beliau dan kerajaannya pada 2018.
“Saya percaya tindakan penyitaan Amerika ini bermotifkan politik dan dirancang sebagai sebahagian daripada kerjasama antara parti Demokrat di Amerika dengan parti pembangkang di Malaysia pada ketika itu untuk melaksanakan perubahan rejim di Malaysia.
“Saya juga percaya kerjasama ini mempunyai motif utama iaitu menyekat akses saya kepada bukti yang boleh membersihkan nama saya kerana ia akan mematahkan naratif mereka. Pastinya kebenaran tentang tuduhan dikenakan ke atas saya akan terdedah dan itulah yang mereka tidak mahu.
“Saya berpendapat Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) melindungi bukti kerana ia pasti amat menguntungkan saya, dan dapat menyangkal dakwaan melulu dalam tindakan pelucutan sivil mereka.
“Ia termasuk saman pelucutan yang difailkan DOJ pada 2016 dalam kes United States of America lawan Wolf of Wall Street Motion Picture,” katanya, lapor MalaysiaGazette.
Beliau berkata demikian semasa membela diri pada perbicaraan penyelewengan dana 1MDB bernilai RM2.3 bilion ($0.68 bilion) di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 9 Disember.
Pada 30 Oktober, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Encik Najib membela diri terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukannya bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie (cukup bukti).
Pembangkang ketika Encik Najib menjadi Perdana Menteri ialah Pakatan Harapan (PH).
Tindakan Amerika itu didakwa Encik Najib bermotifkan politik kerana permohonan beliau kepada peguam negara itu, Cik Loretta Lynch, ketika itu tidak mendapat respons positif, sebaliknya telah dihalang daripada mendapatkan keterangan bekas pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara, Tim Leissner dan Robert Ng.
Sebelum ini, Tim telah mengaku bersalah pada 1 November 2018, dengan antara pengakuan salahnya termasuk melakukan penggubahan wang menggunakan dana 1MDB, selain menyogok pegawai kanan Malaysia serta Abu Dhabi untuk memintas kawalan perakaunan.
Sementara Ng pula dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun di Amerika berikutan kesalahan penggubahan wang haram dan rasuah menggunakan dana 1MDB.
Encik Najib telah memfailkan permohonan penemuan dokumen yang digunakan untuk perbicaraan Ng pada 2021 di Mahkamah Selatan New York, namun dimaklumkan bahawa Amerika terpaksa menjaga dan melindungi kepentingan pelaku salah itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg