Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Titah adendum Najib wujud: Bukan salah Anwar, tak perlu letak jawatan

Ada pihak gesa Anwar letak jawatan kerana ‘sembunyikan’ perintah tambahan itu, AP Pasir Gudang (Johor) pertahan PM M’sia
Jan 7, 2025 | 4:42 PM
Ahli Parlimen Pasir Gudang (Johor), Encik Hassan Abdul Karim.
Ahli Parlimen Pasir Gudang (Johor), Encik Hassan Abdul Karim. - Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

Keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang membenarkan permohonan mantan Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, untuk mengesahkan kewujudan titah adendum atau perintah tambahan yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah, telah mencetus polemik baru dan menghangatkan suhu politik Malaysia.

Di sebalik sokongan terhadap Encik Najib menerusi himpunan perpaduan yang mengumpulkan ribuan penyokong termasuk pembangkang di Istana Kehakiman Putrajaya, ada pihak menzahirkan gesaan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meletak jawatan, selepas keputusan mahkamah itu secara tidak langsung ‘mengesahkan’ kewujudan titah adendum berkenaan.

Ia susulan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Anwar diserang dakwaan cuba menyembunyikan perintah tambahan yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Sultan Abdullah Ahmad Shah, pada Januari 2024 supaya Encik Najib menjalani baki hukuman penjara yang sedang dijalaninya sejak Ogos 2022, sebagai tahanan di rumah.

Namun, Ahli Parlimen (AP) Pasir Gudang (Johor), Encik Hassan Abdul Karim, tegas mempertahankan Datuk Anwar dengan menyifatkan beliau tidak wajar dipersalahkan, sebaliknya pihak yang bertanggungjawab adalah Peguam Negara atau Jabatan Peguam Negara.

“Pihak yang patut menjawab di mahkamah bukan (Datuk) Anwar Ibrahim, tetapi Peguam Negara atau wakilnya dari Jabatan Peguam Negara.

“Hal ini telah ditimbulkan salah seorang hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan (Encik) Najib semalam (6 Januari).

“Seperti yang disebut hakim berkenaan, bahawa pihak Jabatan Peguam Negara gagal memfailkan afidavit untuk menyatakan sama ada titah adendum itu wujud atau tidak.

“Kegagalan Jabatan Peguam Negara itu tidak sepatutnya dibebankan ke bahu Anwar Ibrahim untuk memikulnya,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Menurut Encik Hassan, keputusan Mahkamah Rayuan itu juga membuktikan Datuk Anwar menghormati kebebasan kehakiman.

“Yang jelas menang secara nyata ialah institusi kehakiman. Dengan keputusan 2-1 hakim-hakim Mahkamah Rayuan telah menunjukkan bahawa keputusan kerajaan iaitu badan eksekutif termasuk Lembaga Pengampunan boleh dicabar dan disemak di mahkamah. Prinsip pemisahan kuasa berjalan baik di Malaysia,” ujarnya.

Pada 6 Januari, Encik Najib menang dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk memaksa kerajaan Malaysia mengesahkan dan menjawab kewujudan titah adendum berkenaan dan melaksanakan perintah Sultan Abdullah yang memberi perkenan supaya beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (sayap muda Parti Keadilan Rakyat), Encik Nabil Halimi, berkata keputusan Mahkamah Rayuan itu membuktikan kerajaan telus dan tidak campur tangan dalam urusan undang-undang di Malaysia.

Jelasnya, rakan gabungan dalam Kerajaan Madani khususnya daripada Barisan Nasional (BN) diminta tidak terpedaya dengan sentimen politik yang cuba dimainkan Perikatan Nasional (PN).

“Usaha bersama perlu diteruskan tanpa digugat oleh permainan sentimen atau taktik politik yang bertujuan menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan.

Encik Najib yang juga bekas Presiden Umno, sedang menjalani hukuman selepas disabitkan bersalah dalam penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta ($12.72 juta)

Beliau bagaimanapun dikurniakan pengurangan hukuman oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Sultan Abdullah pada 29 Januari 2024, iaitu dari 12 tahun penjara kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Menyusuli keputusan Lembaga Pengampunan itu Encik Najib mendakwa turut dikurniakan kebenaran menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah yang diperkenan oleh Sultan Abdullah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg