Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Disember menolak permohonan bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, untuk menjalani sisa hukuman penjara sebagai tahanan rumah, setelah memutuskan titah adendum atau perintah tambahan diraja yang membenarkan perkara itu adalah tidak sah.
Dengan itu, Encik Najib akan menghabiskan baki hukuman penjara yang dijalaninya sejak Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah menyeleweng dana RM42 juta ($133 juta) milik SRC International Sdn Bhd, di Penjara Kajang, Selangor.
Hakim Alice Loke Yee Ching menolak permohonan semakan kehakiman bekas Presiden Umno itu untuk mendesak kerajaan dan enam pihak lain melaksanakan titah adendum tersebut.
Hakim mendapati perintah tambahan itu tidak mematuhi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, yang berkaitan dengan kuasa pengampunan diraja.
Hakim Loke, semasa membacakan penghakiman, menjelaskan titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Agong ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah, pada Januari 2024, tidak pernah dibincang atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Sultan Abdullah – sehari sebelum tamat penggal pemerintahan sebagai Agong ketika itu – memberi pengurangan hukuman penjara kepada Encik Najib dari 12 tahun kepada enam tahun.
Bekas Ahli Parlimen Pekan (Pahang) itu juga diberi pengurangan bagi hukuman denda RM210 juta kepada RM50 juta.
Menyusuli pengurangan hukuman yang mendapat reaksi bercampur daripada dunia politik Malaysia, Encik Najib mendakwa turut diberikan kebenaran menjalani baki hukuman penjara yang sedang dijalaninya, sebagai tahanan rumah.
Beliau mendakwa perintah tambahan diraja untuk tahanan rumah itu diperkenan oleh Sultan Abdullah.
Walau bagaimanapun, perkara itu telah mencetus polemik selepas Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendakwa tidak mengetahui kewujudan titah adendum itu.
Beliau kemudian memulakan proses mahkamah pada April 2024, untuk mengesahkan titah adendum itu.
Encik Najib, 72 tahun, yang telah menjalani hukuman penjara lebih tiga tahun, dijangka dibebaskan pada 23 Ogos 2028, selepas mendapat pengurangan hukuman.
Sementara itu, peguam mewakili perdana menteri keenam itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengakui Encik Najib kecewa dengan keputusan mahkamah, setelah dua tahun memperjuangkan kesahihan titah adendum tersebut.
Dalam sidang media di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sejurus keputusan itu, beliau berkata Encik Najib akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak titah adendum berkenaan.
Dalam pada itu, Encik Najib dan anggota keluarganya termasuk isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dan empat anak mereka yang dibenarkan duduk bersama di galeri awam, kelihatan sugul selepas Hakim Loke selesai membacakan keputusan.
Datin Rosmah dilihat mengalirkan air mata sambil menggenggam erat tangan suaminya.
Turut hadir ialah adik lelaki Encik Najib, Tan Sri Nazir, dan tiga anak lelaki bekas Perdana Menteri itu, Datuk Nazifuddin; Datuk Mohamad Nizar dan Norashman serta anak perempuan, Puteri Norlisa.
Beberapa pemimpin Umno turut dilihat hadir ke mahkamah untuk memberi sokongan kepada Encik Najib.
Perkarangan kompleks mahkamah itu dipenuhi penyokong Encik Najib yang turut membawa sepanduk dan mereka meluahkan kekecewaan atas keputusan mahkamah itu.
Encik Najib akan berdepan satu lagi detik penting dalam penentuan kes mahkamah melibatkannya iaitu keputusan dalam empat tuduhan kes salah guna kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram berkaitan RM2.3 bilion dana kekayaan Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di Mahkamah Tinggi Putrajaya pada 26 Disember.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg