Bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, akhirnya melunaskan denda RM50 juta ($15.8 juta) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November, syarat yang ditetapkan menerusi pengampunan diraja, sekali gus membolehkan beliau mula menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mengesahkan perkara itu dalam kenyataan pada 6 November, sambil turut mengumumkan Umno menutup Tabung Solidariti Najib Razak bagi tujuan pengumpulan dana untuk menjelaskan denda itu.

“Umno ingin mengumumkan bahawa jumlah kutipan dana melalui Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September lalu bagi membantu Datuk Najib Tun Razak sudah pun mencapai sasaran dan mencukupi.

“Umno telah menyelesaikan segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi (6 November).

“Umno dengan ini secara rasmi menutup akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak yang diwujudkan untuk penerimaan dana sumbangan orang ramai dan tiada lagi keperluan untuk pendanaan awam bagi tujuan tersebut,” katanya dalam kenyataan itu.

Umno katanya turut memanjatkan kesyukuran kepada Allah dan merakamkan ucapan penghargaan kepada ahli Umno seluruh Malaysia dan orang ramai yang tidak putus-putus menyumbang ke dalam akaun yang disediakan sejak hari pertama.

Dengan itu Encik Najib, 73 tahun, akan dibawa pulang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, dari Penjara Kajang, Selangor, bagi menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Ia selepas 50 hari Encik Najib diberikan pengampunan bersyarat yang dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pada 18 September lalu, untuk bekas Presiden Umno itu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, ketika itu memaklumkan, Encik Najib diberikan pengampunan bersyarat dan dibenarkan menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah, sekiranya beliau membayar denda RM50 juta itu.

BHEUU memaklumkan keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, kali ke-64 pada 18 September, yang dipengerusikan Sultan Ibrahim.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai 2020, selepas disabitkan bersalah atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Keputusan itu kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 dan tempoh pemenjaraan Encik Najib bermula.

Namun, pada 2 Februari 2024, Lembaga Pengampunan dipengerusikan Agong ketika itu, Sultan Abdullah Ahmad Shah, mengumumkan Encik Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara, daripada 12 tahun ke enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Sementara itu, Berita Harian Malaysia melaporkan, polis dilihat memperketatkan laluan masuk ke kediaman Encik Najib di Langgak Duta, sebagai persediaan menyambut bekas Perdana Menteri itu bagi menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.