Bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, telah menjelaskan denda RM50 juta (S$15.8 juta) kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November, sekali gus memenuhi syarat ditetapkan menerusi pengampunan diraja, untuk membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mengesahkan perkara itu dalam kenyataan pada 6 November, sambil turut mengumumkan Umno menutup Tabung Solidariti Najib Razak bagi tujuan pengumpulan dana untuk menjelaskan denda itu.

“Umno ingin mengumumkan bahawa jumlah kutipan dana melalui Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September lalu bagi membantu Datuk Najib Tun Razak sudah pun mencapai sasaran dan mencukupi.

“Umno telah menyelesaikan segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi (6 November).

“Umno dengan ini secara rasmi menutup akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak yang diwujudkan untuk penerimaan dana sumbangan orang ramai dan tiada lagi keperluan untuk pendanaan awam bagi tujuan tersebut,” katanya dalam kenyataan itu.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah Encik Najib, dengan alasan jabatan itu perlu mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, serta perintah mahkamah yang membenarkan pemindahan Encik Najib ke kediamannya.

Dalam satu kenyataan pada petang 6 November, AGC berkata dalam tempoh tersebut, status penahanan Encik Najib hendaklah dikekalkan di tempat tahanan sedia ada iaitu di Penjara Kajang, Selangor, tertakluk kepada kuasa dan arahan pihak berkuasa yang berkenaan.

AGC berkata timbul persoalan perundangan berhubung tafsiran frasa ‘menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya beliau (Encik Najib) membayar denda RM50 juta’ dan kesannya terhadap baki hukuman penjara bagi kes SRC International.

“Pertama, pembayaran denda RM50 juta hanya memenuhi komponen hukuman denda, manakala hukuman penjara bagi kes SRC International masih berjalan sehingga 23 Ogos 2028.

“Berdasarkan tafsiran ini, tahanan di rumah merupakan kaedah atau tempat alternatif bagi menjalani baki hukuman penjara tersebut dan bukannya penamatan hukuman penjara.

“Kedua, pembayaran denda RM50 juta merupakan syarat yang membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya, yang membawa kesan bahawa keseluruhan hukuman bagi kes SRC International, termasuk hukuman penjara, dianggap telah selesai,” kata kenyataan AGC itu.

Selain itu kata AGC, persoalan mengenai status baki hukuman penjara bagi kes SRC International turut mempunyai kesan terhadap pelaksanaan hukuman penjara ke atas Encik Najib bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), khususnya berhubung perintah mahkamah yang menetapkan bahawa hukuman bagi kes itu hendaklah bermula selepas selesai hukuman penjara bagi kes SRC International.

“Jabatan Peguam Negara berpandangan bahawa penjelasan undang-undang yang jelas dan muktamad perlu diperoleh sebelum tindakan pelaksanaan (pengampunan bersyarat) selanjutnya diambil.

“Sehubungan itu, pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Encik Najib adalah wajar ditangguhkan buat sementara waktu, sehingga penelitian dan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan perintah mahkamah itu diselesaikan,” katanya.

Terdahulu, pasukan peguam mewakili Encik Najib menyelesaikan urusan pembayaran denda itu di mahkamah pada pagi 6 November.

Ia selepas 50 hari Encik Najib diberikan pengampunan bersyarat yang dipersetujui oleh Sultan Ibrahim, pada 18 September lalu, untuk bekas Presiden Umno itu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, ketika itu memaklumkan, Encik Najib diberikan pengampunan bersyarat dan dibenarkan menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah, sekiranya beliau membayar denda RM50 juta itu.

BHEUU memaklumkan keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, kali ke-64 pada 18 September, yang dipengerusikan Sultan Ibrahim.

Dengan jangkaan awal Encik Najib akan dibawa pulang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, dari Penjara Kajang, Selangor, untuk menjalani perintah tahanan rumah itu, lebih 30 anggota polis memperketatkan kawalan di kediaman bekas Presiden Umno itu.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai 2020, selepas disabitkan bersalah atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Keputusan itu kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 dan tempoh pemenjaraan Encik Najib bermula.

Namun, pada 2 Februari 2024, Lembaga Pengampunan dipengerusikan Agong ketika itu, Sultan Abdullah Ahmad Shah, mengumumkan Encik Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara, daripada 12 tahun ke enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Sementara itu Berita Harian Malaysia melaporkan, Encik Najib yang dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada petang 6 November, dilihat dibawa semula ke Penjara Kajang pada malam 6 November.

Firma guaman yang mewakili Encik Najib, Tetuan Shafee & Co dalam kenyataan pada malam 6 November, berkata proses pemindahan Encik Najib dari penjara ke kediamannya sedang berlangsung ketika AGC mengeluarkan kenyataan mengenai penangguhan sementara itu.

“Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, anak guam kami masih belum meninggalkan Penjara Kajang,” katanya.