Topik diikuti
Pergi ke BHkuNajib tarik balik permohonan hidupkan semula saman RM1.9j terhadap mantan Peguam Negara
Najib tarik balik permohonan hidupkan semula saman RM1.9j terhadap mantan Peguam Negara
Najib tarik balik permohonan hidupkan semula saman RM1.9j terhadap mantan Peguam Negara
PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, menarik balik permohonan menghidupkan semula saman sivil bernilai RM1.9 juta ($600,000) terhadap mantan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, di Mahkamah Persekutuan, pada 26 November.
Bekas Presiden Umno itu membuat keputusan tersebut atas alasan mahu memberi tumpuan kepada perkara lebih penting.
Menyusuli keputusan itu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan Encik Najib membayar kos RM10,000 kepada Tan Sri Thomas.
Terdahulu Peguam Encik Najib, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, memaklumkan kepada panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah, bahawa anak guamnya memutuskan untuk tidak meneruskan permohonan berkenaan.
“Pemohon memutuskan untuk memberi tumpuan kepada perkara lebih mendesak dan ingin menarik balik permohonan ini,” katanya, lapor Harian Metro.
Datuk Firoz berkata pasukan peguam Tan Sri Thomas bersetuju dengan pembayaran kos sebanyak RM10,000, yang disahkan peguam mantan AGC itu, Encik Alan Adrian Gomez.
Datuk Hashim kemudian membatalkan permohonan itu dan memerintahkan Encik Najib membayar kos berkenaan kepada Tan Sri Thomas.
Turut bersidang Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Azimah Omar.
Encik Najib, 73 tahun, tiba di bilik mahkamah pada 8.55 pagi 26 November, dengan mengenakan sut hitam dan tali leher merah.
Kehadirannya itu adalah yang pertama di mahkamah selepas pulang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur, dari Penjara Kajang pada 10 November lalu, selepas diberi kebenaran menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.
Beliau dilihat ceria, tersenyum dan menyapa penyokong yang berada di galeri awam. Sementara menunggu prosiding bermula, Encik Najib turut dilihat membaca sebuah buku.
Tan Sri Thomas pula tidak hadir di mahkamah.
Pada 18 September lalu, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bersetuju memberikan pengampunan bersyarat kepada Encik Najib.
Ini membolehkannya menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah selepas beberapa pertikaian mengenai perintah berkenaan sehingga terpaksa dibawa ke Mahkamah Tinggi.
Pada 10 November 2026, mahkamah memerintahkan Encik Najib menjalani baki hukuman penjara kes SRC International Sdn Bhd, menerusi tahanan rumah di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur.
Perintah itu berkuat kuasa serta-merta sehingga 23 Ogos 2028, namun tidak berkait dengan hukuman penjara 15 tahun dan denda sekitar RM11.38 bilion bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijatuhkan terhadap Encik Najib pada 26 Disember 2025.