Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NGO batal program ‘Glamping with Pride’ di Selangor

Jan 14, 2026 | 1:14 PM
Glamping, LGBT, dibatalkan
Poster program, ‘Glamping with Pride’, anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akhirnya dibatalkan selepas mendapat bantahan banyak pihak. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-LGBT (lesbian, gay, biseksual, transjantina), Jejaka, membatalkan program, Glamping With Pride, yang pada mulanya dijadual pada 17 dan 18 Januari ini.

Dalam satu kenyataan, Jejaka berkata program itu dibatalkan atas faktor ancaman keselamatan, termasuk ugutan bunuh dan keganasan melalui media sosial.

“Sejak kenyataan kami pada 9 Januari 2026, keadaan telah berubah secara drastik.

“Pemilik tapak program telah membatalkan tempahan atas faktor keselamatan dan pihak kami turut menerima ancaman keselamatan, termasuklah ugutan bunuh dan keganasan melalui media sosial. 

“Ancaman ini telah didokumenkan dan akan dirujuk kepada pihak berkuasa melalui laporan polis,” kata Jejaka dalam satu kenyataan pada 13 Januari, lapor portal berita, Malaysiakini.

NGO itu menegaskan program itu bukan dibatalkan kerana ia menyalahi undang-undang, tetapi kerana keadaan semasa yang memburuk sehingga “menjadikan nyawa sebagai taruhan keselamatan”.

“Sebelum isu ini disensasikan secara meluas, hanya 14 peserta saja yang berdaftar.

“Namun, dalam tempoh beberapa hari saja, sekitar 50 orang telah menyatakan minat untuk menyertai program pendidikan kesihatan ini.

“Akibat ketakutan dan momokan yang dicetuskan, 50 individu tersebut kini kehilangan ruang selamat untuk berkumpul dan belajar tentang kesihatan di ruang alam semula jadi Malaysia. Ini adalah kesan sebenar daripada stigma dan kepanikan moral.

“Kami juga kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, institusi dan tokoh awam yang gagal menenangkan keadaan.

“Mereka gagal menjalankan tugas mereka untuk mempertahankan golongan minoriti daripada ancaman, malah lebih memburukkan lagi situasi ini. 

“Ancaman keganasan terhadap mana-mana pihak bukanlah penyelesaian bagi apa-apa perbezaan pandangan,” katanya.

Jejaka berkata golongan LGBT juga merupakan rakyat Malaysia yang berhak hidup dengan “selamat, bermaruah dan tanpa ketakutan” dengan jaminan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Pada 12 Januari, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengarahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengambil tindakan tegas terhadap sebarang kegiatan tidak bermoral yang membabitkan budaya songsang di negeri itu.

Arahan itu disampaikan kepada Pengerusi Mais, Datuk Salehuddin Saidin dan Mufti Selangor, Datuk Anhar Opir, selepas kededuanya menghadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan, di Shah Alam, Selangor.

Terdahulu pada 11 Januari, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan nasihat kepada penganjur agar membatalkan program itu.

Sehari sebelumnya, polis mengesahkan siasatan terhadap acara itu telah dibuka selepas lima laporan diterima.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg