NGO taja buka puasa disiasat SPRM
3 individu disyaki kemuka dokumen kandungi butiran palsu babit program sumbangan makanan asas jumlah RM5j
KUALA LUMPUR: Sebuah pertubuhan yang ditubuhkan bersama jawatankuasa sebuah masjid dan sering membuat tajaan berbuka puasa menjadi pertubuhan kemanusiaan terbaru disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sejak 2025, SPRM sudah menyiasat dan menyerbu tiga badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan bantuan kemanusiaan, termasuk sebuah badan terkenal yang mengutip sumbangan untuk Gaza.
Dalam siasatan terbaru itu, tiga individu termasuk pengerusi dan bendahari ditahan SPRM kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu membabitkan program sumbangan makanan asas berjumlah kira-kira RM5 juta ($1.63 juta).
Dimaklumkan, ketiga-tiga suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an tahun itu ditahan antara 3 dengan 5 petang pada 24 Februari, sewaktu hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Difahamkan, siasatan awal mendapati bendahari NGO yang juga pengarah syarikat terbabit disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu dengan suspek lain dari 2021 hingga 2023, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
“Semua suspek dipercayai mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu berkaitan program sumbangan makanan asas dengan niat mengelirukan pihak NGO berkenaan.
“Kegiatan suspek menyebabkan pertubuhan itu membuat pembayaran berjumlah kira-kira RM5 juta,” kata satu sumber kepada BHM.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), Datuk Norhaizam Muhammad, mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Perintah reman selama empat hari hingga 28 Februari terhadap ketiga-tiga suspek dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada 25 Februari.
Terdahulu, pada 5 Februari lalu, BHM melaporkan seorang setiausaha NGO yang memperjuangkan penduduk di Asia Barat khususnya Gaza, ditahan SPRM kerana disyaki menyeleweng dana berjumlah kira-kira RM4.2 juta.
Suspek lelaki berusia 40-an tahun itu ditahan kira-kira 6 petang pada 4 Februari lalu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Dia dipercayai melulus dan memindahkan dana NGO berjumlah kira-kira RM4.2 juta ke dalam akaun dua syarikat lain bagi tujuan pelaburan.

