KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Cik Nurul Izzah Anwar, menafikan dakwaan yang bertebaran bahawa pemergian beliau dan suami, Encik Yin Shao Loong, ke Makkah untuk tunai haji menggunakan dana awam.
Dalam catatan di media sosialnya, mantan Ahli Parlimen (AP) Permatang Pauh (Pulau Pinang) itu menafikan fitnah yang mendakwa beliau dan suami menerima tajaan pakej haji mewah dan menaiki jet peribadi ke tanah suci.
Sebaliknya, puteri sulung kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu menjelaskan bahawa mereka berpeluang menunaikan ibadah haji melalui visa mujamalah.
“Banyak hantaran dan mesej berkaitan fitnah telah dikirim kepada saya. Apabila ada sesuatu yang tidak benar tersebar begitu jauh daripada hakikat sebenar, maka ia perlu diperbetulkan.
“Syukur alhamdulillah, saya dan suami berpeluang menunaikan ibadah haji sebagai tetamu Allah swt, melalui visa mujamalah.
“Urusan logistik, termasuk tempat tinggal dan pengangkutan, diatur oleh agensi pelancongan berlesen, Mimm Travel. Menaiki penerbangan komersial dan menggunakan wang simpanan sendiri. Tiada jet peribadi seperti yang difitnah. Perjalanan dilakukan sama seperti jutaan jemaah haji lain,” katanya, lapor Astro Awani.
Paling bermakna, tambahnya beliau dapat melaksanakan ibadah haji bersama suami, khususnya di Arafah, tempat di mana Allah swt menurunkan ayat ke-3, Surah al-Maidah yang mengatakan bahawa Allah swt telah menyempurnakan agama Islam.
“Dalam kita berbeza pandangan dan bertarung dalam medan politik di dunia, janganlah sehingga ibadah dijadikan sebagai bahan tohmahan dan fitnah.
“Biarlah kita saling mendoakan, semoga Allah swt mengurniakan rezeki dan peluang kepada lebih ramai umat Islam untuk menjadi tetamu-Nya – dalam keadaan yang dimudahkan, diterima amal dan dijauhkan daripada fitnah manusia,” katanya lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg