Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah di kemuncak untuk menyaksikan perubahan tampuk kepimpinan tertingginya, yang bakal ditentukan 30,000 ahli parti di seluruh Malaysia dalam pengundian pada 23 Mei.
Selepas sarat dengan ketegangan sepanjang tempoh kempen terutama persaingan bagi jawatan Timbalan Presiden, ramalan awal kuat menunjukkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka bertukar gandingan dan kali ini dengan puteri sulungnya, Cik Nurul Izzah, untuk menerajui parti selepas pemilihan itu.
Malah, tidak kurang juga ada pihak menjangkakan Cik Nurul Izzah turut bakal membarisi Kabinet Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Anwar yang kini menjawat Perdana Menteri Malaysia.
Cik Nurul Izzah, yang ketika ini memegang jawatan Naib Presiden yang dimenanginya menerusi pemilihan parti pada 2022, menjadi pencabar tunggal Datuk Seri Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi Malaysia, yang bertanding mempertahankan jawatan nombor dua parti yang disandangnya sejak 2022.
Tidak dapat lari dengan serangan daripada ahli yang mengaitkan isu nepotisme dan parti anak-beranak, Datuk Anwar dan Cik Nurul Izzah ‘diselamatkan’ dengan sokongan padu ahli akar umbi termasuk pemimpin tertinggi parti terhadap pencalonan anaknya bagi jawatan Timbalan Presiden.
Ini digambarkan sesetengah pihak sebagai kehendak akar umbi untuk mempersiap bakal pengganti Datuk Anwar sebagai Presiden PKR, yang mengikut perlembagaan parti akan tamat berkuasa selepas tiga penggal.
Walaupun kenyataan Datuk Anwar pada 21 Mei menegaskan keputusan Pemilihan PKR 2025 sama sekali tidak akan menyebabkan berlakunya rombakan Kabinet, pengamat politik tidak menolak kemungkinan perubahan Kabinet akan berlaku, namun PKR perlu bersedia dengan kesannya.
“Pandangan saya, PKR sudah cukup tercalar dengan serangan nepotisme dan parti anak-beranak, justeru perubahan Kabinet mungkin tidak akan berlaku.
“Apatah lagi Cik Nurul Izzah bukan Ahli Parlimen (AP) dan untuk meletakkan beliau dalam barisan Kabinet, beliau perlu dilantik sebagai Senator. Ini hanya akan memburukkan lagi persepsi nepotisme terhadap PKR.
“Tetapi apa saja kemungkinan boleh terjadi. Namun, ada pihak tidak akan berdiam jika ramalan itu (rombakan Kabinet) menjadi realiti,” kata penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mohd Mahadee Ismail dari Universiti Putra Malaysia kepada Berita Harian, tanpa merujuk pihak yang dimaksudkan.
Dengan jangkaan kemenangan Cik Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden, selain kekalahan beberapa calon sekutu Datuk Rafizi atau disebut ‘kem Rafizi’ bagi jawatan Naib Presiden, PKR dijangka bergolak lebih teruk dengan ‘serangan’ AP Pandan (Kuala Lumpur) itu selepas ini.
Datuk Rafizi sejak awal sudah ‘menarik brek’ dengan mengumumkan akan meletak jawatan Kabinet sekiranya tewas dalam pemilihan itu, sekali gus menggambarkan hubungan politiknya dengan Datuk Anwar semakin jauh.
“Apa yang lebih kritikal sekarang ialah bagaimana PKR mahu memulihkan hubungan dengan (Datuk) Rafizi kerana ketegangan yang berlaku sekarang telah mengeruhkan hubungan Datuk Rafizi dan Datuk Anwar.
“Datuk Rafizi adalah antara pejuang tegar PKR, beliau pemimpin bijak dan antara yang bertanggungjawab menyumbang kemenangan kepada PKR dalam pilihan raya sehingga PKR menjadi kerajaan pada hari ini,” kata Dr Mohd Mahadee.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan Datuk Rafizi yang dilihat seperti merajuk akan meninggalkan PKR, namun yakin Datuk Anwar akan mengambil tindakan mengelakkan ‘aset’ parti itu hilang.
Pemilihan Pusat PKR 2025 akan menyaksikan pengundian untuk satu perjawatan Timbalan Presiden, empat Naib Presiden, dan 20 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk tempoh tiga tahun sehingga 2028.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg