KUALA LUMPUR: Peluang Lembaga Tabung Haji (TH) mendapatkan semula keseluruhan jumlah penuh pampasan timbang tara bernilai SAR899 juta ($306.66 juta) daripada Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co Ltd (Al-Rawda), adalah rendah.

Usaha mendapatkan semula baki berkenaan kini banyak bergantung kepada kejayaan menjejak dan menguatkuasakan aset syarikat atau penjamin peribadi, kata pakar.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mohd Iqbal Mohd Noor, berkata kemenangan dalam prosiding timbang tara tidak semestinya menjamin jumlah yang diperintahkan untuk dibayar dapat dipulihkan sepenuhnya.

“Isu utama pada peringkat ini ialah sama ada pihak yang bertanggungjawab mempunyai aset yang mencukupi, boleh dikenal pasti dan boleh dikuatkuasakan bagi memenuhi pampasan berkenaan,” katanya, lapor laman web Berita Harian Malaysia.

Menurutnya, daripada jumlah award SAR899 juta yang diperintahkan untuk dibayar, hanya SAR14.9 juta atau kira-kira 1.7 peratus telah diterima setakat ini.

Sementara usaha mendapatkan semula baki jumlah keseluruhan bergantung kepada keupayaan Al-Rawda dan pihak berkaitan untuk memenuhi pampasan berkenaan.

Dr Mohd Iqbal berkata dalam urus niaga bernilai tinggi, pelabur lazimnya memerlukan perlindungan kewangan kukuh seperti cagaran aset dan jaminan bank, manakala Nota Janji dan jaminan peribadi berfungsi sebagai perlindungan tambahan.

Menurutnya, sekiranya sesuatu urus niaga diteruskan tanpa jaminan bank dan ketika proses penilaian masih belum lengkap, keadaan itu boleh menunjukkan kelemahan ketara dalam tadbir urus dan proses membuat keputusan pelaburan.

“Apabila risiko telah dikenal pasti tetapi mekanisme kawalan tidak berfungsi, mekanisme tersebut dikira gagal dalam proses membuat keputusan.

“Dalam konteks tadbir urus kewangan, isu utama kini bukan sekadar keuntungan atau kerugian pelaburan, tetapi sama ada risiko telah dikenal pasti, dinilai dan diberikan pertimbangan sewajarnya sebelum keputusan pelaburan diluluskan,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Mohd Iqbal berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaburan luar negara oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu menetapkan proses penilaian berperingkat sebelum sesuatu pelaburan diluluskan.

Penilaian daripada aspek risiko, undang-undang dan komersial perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum dana disalurkan, manakala syarikat penerima dana perlu menyediakan jaminan daripada institusi kewangan yang kukuh atau cagaran aset bernilai setara.

“Penyaluran dana pula perlu dibuat secara berperingkat berdasarkan pencapaian prestasi yang ditetapkan.

“Pendekatan ini membolehkan tindakan awal diambil sekiranya prestasi pelaburan mula merosot.

“Sebarang pengecualian daripada syarat yang ditetapkan perlu melalui tahap kelulusan lebih tinggi dengan pewajaran yang direkodkan secara jelas,” katanya.

Mengenai kedudukan kewangan TH berkaitan pelaburan Al-Rawda, Dr Mohd Iqbal berkata kemerosotan nilai penuh bernilai RM1 bilion yang dibuat pada 2024 menunjukkan TH telah mengambil pendekatan konservatif dengan mengambil kira kemungkinan kerugian terhadap aset berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata penurunan nilai penuh tidak bermakna TH perlu menghentikan usaha mendapatkan semula tuntutan tersebut dan selagi terdapat kemungkinan aset boleh dikesan serta dikuatkuasakan, usaha pemulihan perlu diteruskan.

“Pendekatan TH pada masa ini boleh dianggap munasabah, iaitu tidak lagi menganggap jumlah tersebut pasti akan diterima, tetapi pada masa sama terus berusaha mendapatkan semula sebanyak mungkin melalui penjejakan dan penguatkuasaan terhadap aset yang masih boleh dikenal pasti,” katanya.