Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Parlimen bersidang 35 hari; Belanjawan 2025 dibentang 18 Okt

Belanjawan itu yang ketiga dibentang Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Anwar
Oct 14, 2024 | 6:26 PM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) memenuhi tuntutan jadualnya di Parlimen Malaysia pada hari pertama Persidangan Dewan Rakyat pada 14 Oktober.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) memenuhi tuntutan jadualnya di Parlimen Malaysia pada hari pertama Persidangan Dewan Rakyat pada 14 Oktober. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

Selepas ditangguhkan sementara pada 18 Julai, Dewan Rakyat Parlimen Malaysia kembali bersidang mulai 14 Oktober selama 35 hari, dengan keterujaan dan tumpuan terarah kepada pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober.

Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka memulakan pembentangan Belanjawan 2025 pada 4 petang.

Belanjawan bertema, ‘Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’ itu adalah belanjawan ketiga yang digarap Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Anwar, selepas diangkat sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada November 2022.

Datuk Anwar dalam perkongsian di media sosial menyifatkan akan ada lebih banyak pembaikan kepada struktur ekonomi yang diperkenalkan bagi memastikan pertumbuhan Malaysia yang lebih pesat dapat dikongsi dengan rakyat secara saksama dalam Belanjawan 2025.

Berdasarkan bayangan inti pati Belanjawan 2025 daripada ucapan Datuk Anwar sebelum ini, rangkuman pelbagai sektor akan diberi perhatian terutama kos sara hidup, peningkatan pendapatan rakyat, kenaikan gaji penjawat awam, pelaburan, penyasaran subsidi dan peralihan tenaga.

Segmen teknologi yang dijangka memberi tumpuan dalam Kecerdasan Buatan atau AI juga antara yang kerap diberi penekanan oleh Datuk Anwar.

Kestabilan politik dan geopolitik, selain kemerosotan ekonomi sejagat menjadi antara cabaran yang menguji Kerajaan pimpinan Datuk Anwar mendepani kesan yang mempengaruhi pengukuhan ringgit, perdagangan serta pasaran eksport dan import di samping pelaburan negara.

Belanjawan 2025 adalah yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK) bagi (2021-2025) sebelum menginjak ke RMK13 bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pembentangan Belanjawan 2025 akan dibahaskan di peringkat dasar bermula 21 Oktober hingga 5 November, sebelum sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 6 November.

Sementara itu hari pertama persidangan Dewan Rakyat pada 14 Oktober mencuri tumpuan dengan beberapa ketetapan baru dimaklumkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Antaranya ialah membenarkan lebih banyak soalan diajukan pihak penyokong kerajaan dalam kedudukan 10 teratas bagi sesi soal jawab lisan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Keputusan itu katanya dibuat susulan permohonan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Datuk Mohd Shahar Abdullah (Barisan Nasional-Paya Besar) untuk meningkatkan jumlah pertanyaan oleh pihak penyokong kerajaan kepada enam soalan dalam kedudukan 10 teratas, atas alasan bilangan mereka lebih ramai berbanding pihak pembangkang.

Kedudukan kerusi dalam Dewan Rakyat ialah 93 Ahli Parlimen (AP) penyokong kerajaan, manakala 75 ialah AP pembangkang.

Dalam pada itu, AP Machang, Kelantan, Encik Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang digantung daripada menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan bermula 18 Julai, dilihat hadir pada persidangan 14 Oktober, namun hanya duduk di kawasan pemerhati.

Beliau digantung susulan dakwaannya mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg