Parlimen M’sia nyata sokongan kepada Iran, kutuk serangan Israel dan Amerika
Parlimen M’sia nyata sokongan kepada Iran, kutuk serangan Israel dan Amerika
KUALA LUMPUR: Blok kerajaan dan pembangkang di Parlimen Malaysia pada 2 Mac menyingkirkan jurang politik, menyatu dalam solidariti bersama rakyat dan negara Iran.
Tindakan ini menjadikan Parlimen Malaysia antara yang terawal menyatakan pendirian tegas, mengutuk keras serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap negara itu.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan kesepakatan luar biasa antara blok kerajaan dengan pembangkang itu sebagai manifestasi jelas bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dalam soal maruah, kedaulatan, dan kemerdekaan sesebuah negara.
“Ia menyentuh perasaan saya apabila melihat kita boleh berbeza pendapat dalam banyak hal, tetapi dalam soal kedaulatan dan kemaslahatan bersama, tidak ada perbezaan. Ini petanda baik bagi negara kita.
“Kita sedar, apabila kita memberanikan diri menyatakan yang hak, pertahankan kebenaran dan keadilan, kita mungkin mengundang sedikit sebanyak masalah selain masalah ekonomi akibat perkembangan geopolitik dan juga peredaran dan pengangkutan minyak dan sebagainya.
“Tetapi, ini suara rakyat Malaysia dan apa-apa pun kita hadapi bersama,” kata beliau ketika menggulung usul mengutuk serangan biadap dan ganas Israel dengan sokongan Amerika terhadap Iran di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, paa 2 Mac, lapor Berita Harian Malaysia.
Menyentuh isu pertukaran rejim secara paksa (forced regime change) yang menyasarkan ketua negara dan kemudahan awam, Datuk Anwar menyifatkan ia sebagai keganasan melampau yang mencabuli tatanan hukum dunia, sama sekali tidak boleh diterima oleh mana-mana tamadun manusia.
Beliau berkata tindakan tersebut ialah satu keangkuhan kuasa besar yang cuba menentukan kepimpinan sesebuah negara berdaulat melalui kekerasan.
Dalam ucapan penggulungannya juga, Datuk Anwar berkata kerajaan sentiasa bersiap-siaga dan berwaspada terhadap sebarang ancaman termasuk dari luar yang bertujuan mengganggu gugat pentadbiran dan kedaulatan negara.
Beliau berkata kerajaan tidak akan sesekali membenarkan campur tangan mana-mana negara luar atau syarikat asing dalam sebarang urusan.
“Sudah tentunya kita meneliti apabila dikaitkan dengan ancaman terbaru yang masih dalam siasatan, kita jangan menafikan kemungkinan ini berlaku atau terus berlaku dan saya hanya beri jaminan kita akan tentu waspada.
“Kewaspadaan itu perlu, kesiapsiagaan itu perlu. Menganggap bahawa semuanya teratur dan terselamat itu suatu kelemahan besar daripada pemikiran kita. Jadi, sebab itu soal kedaulatan negara, maruah rakyat bagi kita harus ada kesepakatan walaupun sama-sama tahu akan risikonya,” kata beliau.

