Topik diikuti
Pergi ke BHkuParti Bersama mampu beri saingan menang kerusi bandar
Parti Bersama mampu beri saingan menang kerusi bandar
Ketika blok politik utama giat merundingkan potensi kerjasama, Parti Bersama Malaysia (Bersama), setakat ini memilih pendekatan berani dengan bergerak dan bertanding secara bersendirian, tanpa mahu terikat dengan mana-mana pakatan.
Pendirian teguh parti itu untuk bergerak solo bukan sahaja menawarkan alternatif kepada pengundi, malah penganalisis melihatnya berpotensi muncul sebagai kuasa ketiga yang mencabar dominasi parti arus perdana.
Walaupun mengalami kekalahan yang mengecewakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Julai lalu – pilihan raya pertama yang disertai Bersama sejak Datuk Seri Rafizi Ramli, dan Nik Nazmi Nik Ahmad, mengambil alih parti itu selepas meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Mei lalu, Bersama dilihat berpotensi memenangi kerusi di kawasan bandar.
Namun, penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, melihat parti yang asalnya diasaskan sebagai parti kecil di Pulau Pinang pada 2016 itu, mungkin berdepan kesukaran untuk menembusi kawasan luar bandar.
“Parti Bersama mempunyai kelebihan sebagai pilihan baharu kepada pengundi terutama pengundi muda dan mereka yang kecewa dengan PH, tetapi tidak selesa dengan politik perkauman atau konservatif.
“Kekuatan utamanya ialah tokoh, naratif reformasi, isu kos sara hidup dan daya tarikan kepada kelompok profesional serta pengundi muda dan bukan Melayu di bandar.
“Namun, kelemahannya ialah jentera pilihan raya yang belum betul-betul teruji dan kesukaran menembusi pengundi Melayu luar bandar,” katanya.
Walaupun sebuah parti baru dalam landskap politik Malaysia, parti itu di awal pelancarannya telah berjaya menarik hampir 30,000 keahlian, dengan kira-kira 60 peratus ahli tidak mempunyai sebarang latar belakang parti politik atau menyertai parti untuk kali pertama.
Berdasarkan perkongsian Datuk Rafizi sebelum ini, sekitar 25 peratus merupakan mantan ahli PKR, manakala bakinya terdiri daripada bekas ahli parti lain termasuk Umno, Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Selepas mengesahkan 15 calonnya akan bertanding dalam PRN Melaka yang dijangka dalam tempoh terdekat, Zamil Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Azmi Hassan, melihat Bersama yang kekal dengan prinsip bertanding solo, bakal mengulangi episod kekalahan pada PRN Johor sebelum ini.
Dr Mohammad Tawfik menambah parti itu berpeluang menarik lebih ramai pengundi dengan mengambil ruang sebagai suara reformis yang lebih tegas.
Malah, isu pengampunan bekas Perdana Menteri dari Umno, Encik Najib Tun Razak, penyelewengan dan rasuah yang didakwa melibatkan pemimpin Umno/Barisan Nasional (BN) boleh memberi kelebihan kepada parti itu untuk menarik pengundi.
Profesor Kehormat (Sains Politik) dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, juga senada bahawa Bersama belum mempunyai akar umbi di kawasan luar bandar.
Malah kata beliau, majoriti pengundi Melayu masih inginkan politik simple (ringkas), sekali gus melihat Bersama belum cukup kuat untuk menarik pengundi yang bukan daripada kelompok penyokong Datuk Rafizi.
“Pengundi Melayu lebih sukakan politik simple, berbanding Rafizi yang banyak bergantung pada politik data sebagaimana kecenderungan yang diketengahkan Bersama.
“Pengundi Melayu lebih sukakan pemimpin yang turun padang, hadir kenduri dan solat jenazah umpamanya, kerana di situlah mereka dapat mendekati sosok pemimpin itu,” katanya.
Selain Bersama, Malaysia juga mempunyai sebuah lagi parti politik yang diterajui golongan muda – Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Muda yang pernah dipimpin Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, juga kalah semua empat kerusi yang ditandingi dalam PRN Johor.