PN mahu ‘gencatan senjata’, selesai polemik segera

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PN mahu ‘gencatan senjata’, selesai polemik segera

Feb 2, 2026 | 3:23 PM

PN mahu ‘gencatan senjata’, selesai polemik segera

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Ahli Parlimen Bachok (Kelantan) merangkap Setiausaha Politik kepada Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Encik Mohd Syahir Che Sulaiman.
Ahli Parlimen Bachok (Kelantan) merangkap Setiausaha Politik kepada Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Encik Mohd Syahir Che Sulaiman. - Foto FACEBOOK SYAHIR SULAIMAN

Perselisihan dalam Perikatan Nasional (PN) mengenai jawatan Pengerusi terus melarat dengan pemimpin daripada dua parti komponen utama – Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) – berbalas kenyataan secara terbuka.

Tidak mahu polemik sejak sebulan lalu terus berpanjangan, Setiausaha Politik kepada Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Encik Mohd Syahir Che Sulaiman, meminta beberapa pihak dalam Bersatu agar tidak lagi menulis berkenaan ‘hal sulit’ dalam PN secara terbuka, sebaliknya setuju dengan gencatan senjata.

Encik Mohd Syahir yang juga Ahli Parlimen (AP) Bachok (Kelantan), berkata meskipun berasa terdorong untuk membalas kenyataan tertentu, beliau memilih untuk menahan diri atas rasa hormat terhadap tokoh senior, termasuk mantan Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Marzuki Mohamad; dan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

“Justeru atas rasa hormat kepada Datuk Marzuki dan Tun Faisal, permintaan saya cukup-cukuplah menulis. 1 Februari, sudah genap sebulan ‘pemandu bas’ meletak jawatan, (sejak) 1 Januari. Perjalanan tergendala. Penumpang gelisah. Keluarga (rakyat) menunggu.

Kami hanya mahu teruskan perjalanan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook sambil berkongsi tangkap layar laporan media yang memetik kenyataan Datuk Marzuki bertajuk Plot ‘Muhyiddin exit’ dan pergaduhan besar dalam PAS.

Dalam laporan itu, Datuk Marzuki mempertahankan bahawa Presiden Bersatu yang juga mantan Pengerusi PN tidak berbohong mengenai pemansuhan jawatan Pengerusi PN.

Malah, Datuk Marzuki turut mendedahkan pertikaian antara kem kepimpinan Tan Sri Muhyiddin dengan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dengan mendakwa Datuk Hamzah – yang lebih mesra PAS – menggunakan tangan kotor untuk menyerang Presiden Bersatu bagi menjatuhkannya.

Sehubungan itu, Encik Mohd Syahir turut mencadangkan agar pihak-pihak di peringkat ‘operator’ bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata, sambil menegaskan bahawa ‘diam itu emas’ dan menyerahkan penyelesaian kepada pucuk pimpinan menerusi satu mesyuarat penuh majlis yang perlu diadakan segera.

“Jika kalian berpandangan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin masih merupakan Pengerusi PN yang berkuat kuasa, mudah saja, sila panggil mesyuarat segera. Kami hanya mahu teruskan perjalanan. Jangan berlengah lagi,” katanya.

Kata Encik Mohd Syahir, di Perak dan Melaka, PAS telah melancarkan jentera pilihan raya, dan akan disusuli negeri lain.

“Persiapan bukan setakat di 43 kerusi Parlimen kami, termasuk di enam kerusi ‘lompat’ (oleh AP Bersatu), yang dilaporkan tidak terjaga. Itu belum termasuk, dua kerusi kalian (Bersatu) yang dengarnya ‘bakal’ melompat, harapnya dapatlah berjaga,” katanya.

Sementara itu, Datuk Tun Faisal dalam satu hantaran Facebook menyambut seruan gencatan senjata tersebut demi perpaduan ummah, namun menyenaraikan deretan soalan dan permintaan untuk dijawab Encik Mohd Syahir.

Ini termasuk meminta agar PAS mengeluarkan kenyataan maaf terhadap tuduhan yang dibuat terhadap Bersatu berhubung krisis peralihan Menteri Besar Perlis pada Disember 2025 lalu, sehingga membawa kepada peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin pada 1 Januari 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg