PN batal mesyuarat pilih pengerusi baru 29 Jan, ketua parti kumpul di kediaman Muhyiddin
PN batal mesyuarat pilih pengerusi baru 29 Jan, ketua parti kumpul di kediaman Muhyiddin
KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) menunda mesyuarat 29 Januari yang dijadualkan bagi membincangkan perletakan jawatan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan pelantikan pengganti.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, mengesahkan mesyuarat itu kini digantikan dengan ‘mesyuarat pra-majlis’ di kediaman Muhyiddin, menurut laporan ringkas Malaysiakini.
Punca pembatalan mesyuarat di ibu pejabat Gerakan, Cheras, pada 8 malam 29 Januari itu masih samar. Namun, notis pembatalan yang tular mendakwa Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu, telah mengeluarkan jemputan berasingan kepada presiden parti komponen PN untuk mesyuarat pra-majlis di kediamannya.
Sebelum ini, pada 23 Januari, Timbalan Setiausaha Agung PN merangkap Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, telah memanggil mesyuarat khas MT PN untuk membincangkan perletakan jawatan Muhyiddin. Jika diterima, agenda seterusnya adalah memilih Pengerusi PN yang baharu.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, membantah notis itu kerana didakwa melanggar perlembagaan PN dengan tidak menjemput Muhyiddin, yang dianggap masih Pengerusi sehingga perletakan jawatannya diluluskan MT PN.
Muhyiddin telah mengumumkan perletakan jawatan pada 30 Disember 2025, berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Menurut Tun Faisal, walaupun Tan Sri Muhyiddin sudah mengumumkan peletakan jawatan Pengerusi, beliau masih dianggap sebagai pengerusi PN sehingga keputusan tersebut mendapat kelulusan Majlis Tertinggi PN, dan oleh itu masih merupakan anggota majlis berkenaan.
Sementara itu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang dipecat Bersatu, terus mengkritik Muhyiddin. Beliau mempersoalkan kesungguhan Muhyiddin menerajui PN dan kegagalannya memanggil mesyuarat MT PN, meskipun penyokongnya mendakwa beliau masih Pengerusi.
“Kalau Tan Sri Muhyiddin masih pengerusi PN, sebab apa beliau tak segera panggil mesyuarat MT PN untuk bincangkan siapa pengganti selepas beliau letak jawatan? Bukankah Pengerusi PN yang bertanggungjawab akan segera menyelesaikan isu yang penting ini?” soal Wan Saiful di media sosial.

