Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasangan tak sempat kahwin maut dalam nahas di Terengganu

Jul 29, 2024 | 1:34 PM
Kemalangan jalan raya membabitkan empat kenderaan di Kuala Terengganu, Terengganu, meragut nyawa sepasang kekasih yang bakal berkahwin pada akhir 2024.
Kemalangan jalan raya membabitkan empat kenderaan di Kuala Terengganu, Terengganu, meragut nyawa sepasang kekasih yang bakal berkahwin pada akhir 2024. - Foto POLIS DIRAJA MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Hasrat sepasang kekasih melangsungkan perkahwinan pada akhir 2024 tidak kesampaian apabila kededua mereka maut dalam kemalangan empat kenderaan di Kuala Terengganu, Terengganu.

Pasangan itu, Allahyarham Muhammad Haniff Idham Mohd Azmi, 24 tahun, dan Allahyarhamha Nurshabirah Izzani Zulkarnain, 22 tahun, yang sepatutnya melangsungkan pertunangan dalam masa terdekat, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, pada 27 Julai.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Azli Mohd Noor, berkata kemalangan berlaku apabila kereta dinaiki Muhammad Haniff, yang merupakan peniaga, bersama Nurshabirah Izzani, yang bekerja sebagai pembantu jualan, dilanggar sebuah pacuan empat roda menyebabkan ia terbabas lalu melanggar pokok hiasan.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang ketika itu sedang menghala ke Pulau Duyong untuk makan kira-kira 10.30 malam sebelum tiba-tiba dilanggar dari arah belakang oleh pacuan empat roda dinaiki anggota keselamatan.

“Akibat pelanggaran itu, kedua-duanya terbabas lalu melanggar pokok hiasan yang berada di tengah pembahagi jalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Tidak lama selepas itu, sebuah lagi kereta yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang pacuan empat roda berkenaan. Bagaimanapun, mangsa lain yang terlibat dalam kemalangan itu hanya cedera ringan,” katanya, lapor Sinar Harian pada 29 Julai.

Bapa Allahyarhamha Nurshabirah Izzani, Zulkarnain Abdullah, 57 tahun, berkata mereka sekeluarga merancang majlis perkahwinan mangsa, yang juga anak keempatnya, bersama anak kedua dan ketiganya secara serentak pada akhir 2024.

Sementara itu di Seremban, Negeri Sembilan, seorang anggota polis yang sedang melakukan tugas ‘Op Samseng Jalanan’ di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), cedera selepas dirempuh sebuah motosikal ditunggangi seorang remaja secara melawan arus.

Ketua Polis Daerah Seremban, Penolong Pesuruhjaya Mohamad Hatta Che Din, berkata kemalangan kira-kira 2 pagi 29 Julai itu, menyebabkan seorang anggota polis lelaki berusia 36 tahun dan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun cedera parah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg