KUALA LUMPUR: Seorang pastor sambilan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 26 November atas tuduhan membunuh ibunya sebelum menyumbat dan menyimpan mayat mangsa dalam peti sejuk beku selama tiga tahun.
N Deanesh, 53 tahun, didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian ibunya, Catherine Daniel, 77 tahun, di sebuah rumah di Taman OUG, Brickfields, Kuala Lumpur, antara 21 Mac hingga 26 Mac 2021.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
“Faham,” kata tertuduh yang berada di atas kerusi roda ketika tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, lapor Harian Metro.
Mahkamah menetapkan 7 Februari 2025 untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, perubatan dan padanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Sebelum ini, media Malaysia melaporkan seorang lelaki berusia 50-an tahun dipercayai tergamak membunuh ibunya dan menyimpan mayat wanita itu di dalam peti sejuk beku di rumah.
Perbuatan suspek terbongkar selepas kediamannya diperiksa pasukan polis yang menerima panggilan daripada lelaki itu kira-kira 9 pagi, pada 12 November lalu.
Mangsa yang mati dipercayai akibat dipukul itu meninggal dunia sebelum dibalut dengan tuala dan plastik dan diletakkan di dalam peti ais tersebut selama tiga tahun.
Sementara itu, dalam satu kes berasingan, Kosmo! melaporkan seorang penyelia lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kematian sepasang suami isteri di Pasir Gudang, Johor, pada 16 November lalu.
Tertuduh, S Nageshvaran, 34 tahun, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nor Farhana Mohd Ishak.
Mengikut tuduhan, Nageshvaran yang memandu Perodua Alza mempunyai jumlah alkohol dalam darah sebanyak 170miligram (mg) / 100milileter (ml) – melebihi had ditetapkan iaitu 50mg/100ml – dan menyebabkan kematian Allahyarham Mohamad Redzwan Mohd Rudi dan Allahyarhamha Linda Mohd A Aziz.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 4.15 pagi di persimpangan lampu isyarat Jalan Besar/Jalan Mesjid, Pusat Bandar Pasir Gudang, pada 16 November lalu.
Mahkamah menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 ($1,815) dengan seorang penjamin bagi setiap tuduhan.
Mahkamah turut menetapkan 14 Januari 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg