Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PDRM serbu makmal dadah dalam kebun durian di P. Pinang, rampasan RM38j

Dec 24, 2025 | 11:46 AM
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan (kiri), berkata pelbagai rampasan dadah dan peralatan bernilai RM38 juta dilakukan selepas membongkar makmal dadah dalam kebun durian di Teluk Bahang dengan, Pulau Pinang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan (kiri), berkata pelbagai rampasan dadah dan peralatan bernilai RM38 juta dilakukan selepas membongkar makmal dadah dalam kebun durian di Teluk Bahang dengan, Pulau Pinang. - Foto NSTP

BALIK PULAU (Pulau Pinang): Polis Diraja Malaysia (PDRM) membongkar sindiket dadah antarabangsa yang menjadikan premis tersembunyi dalam kebun durian di Balik Pulau, Pulau Pinang, sebagai makmal memproses dadah, menyaksikan rampasan 1.2 tan pelbagai jenis dadah selain peralatan bernilai RM38 juta ($12.01 juta).

Kejayaan itu hasil risikan berterusan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM yang membawa kepada beberapa siri serbuan serentak pada 20 dan 21 Disember lalu di sekitar Pulau Pinang.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata dalam serbuan pertama di sebuah premis di Jalan Gurdwara, Georgetown, seramai tiga lelaki warga asing berusia antara 32 hingga 38 tahun dipercayai ahli kimia memproses dadah ditahan.

Beliau berkata seorang lagi suspek lelaki warga tempatan berusia 27 tahun mati di tempat kejadian selepas terjatuh dari tingkat lima bangunan itu ketika cuba melarikan diri menerusi tingkap.

“Dalam serbuan itu, polis merampas sebanyak 26 kilogram dadah disyaki methamphetamine dan pelbagai peralatan pembungkus dadah.

“Serbuan kedua dijalankan di sebuah premis perindustrian di Taman Windmill berhampiran kawasan sama, yang digunakan sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan semula di mana dadah seberat 474 kilogram ditemui.

“Serbuan ketiga pula membawa kepada penemuan sebuah makmal haram di sebuah rumah tidak bernombor dalam kebun durian di Teluk Bahang yang disewa sindiket sejak September lalu dengan harga RM80,000 setahun,” katanya di tapak serbuan pada 23 Disember, lapor Harian Metro.

Datuk Hussein berkata dalam kebun durian berkeluasan kira-kira 32 hektar itu, polis merampas serbuk putih disyaki methamphetamine seberat 60 kilogram, ketulan kristal disyaki methamphetamine seberat 54 kilogram.

“Turut dirampas cecair disyaki methamphetamine seberat 574 kilogram serta pelbagai peralatan memproses dadah yang dibawa masuk dari luar negara.

“Jumlah keseluruhan rampasan daripada ketiga-tiga serbuan itu kira-kira 1.2 tan syabu yang dianggar mampu digunakan hampir 6 juta penagih jika terlepas di pasaran,” katanya.

Datuk Hussien berkata pihaknya turut menyita aset bernilai RM181,000 termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kereta; sebuah forklift dan kenderaan ATV, dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan dianggarkan berjumlah RM38 juta.

Katanya, siasatan juga mendapati sindiket berkenaan diketuai individu dari luar negara yang menggunakan Malaysia sebagai hab pemprosesan dadah, sebelum bekalan dihantar ke pasaran antarabangsa dan tempatan.

“Modus operandi sindiket adalah membawa masuk bahan (membuat dadah) dan peralatan dari luar negara, kemudian melantik seorang penyelaras tempatan bagi mencari tapak seperti kebun durian, sebelum menghantar ahli kimia dari luar negara bagi menjalankan proses pengeluaran dadah.

“Setakat ini kita mengesan sekurang-kurangnya tujuh penghantaran dadah sudah dibuat ke Australia dan Hong Kong menggunakan perkhidmatan kurier antarabangsa dengan setiap penghantaran dianggarkan seberat 2 kilogram,” katanya.

Datuk Hussein berkata ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek warga asing positif methamphetamine, selain dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan dadah di negara asal termasuk seorang pernah dipenjarakan selama tujuh tahun.

“Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 27 Disember ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg