Peguam anak Daim dakwa wujud ‘langkah politik terancang’, persoal imigresen umum keberadaan di luar negara
Peguam anak Daim dakwa wujud ‘langkah politik terancang’, persoal imigresen umum keberadaan di luar negara
KUALA LUMPUR: Peguam kepada dua anak mantan Menteri Kewangan Malaysia, Almarhum Tun Daim Zainuddin, mempersoalkan keperluan Jabatan Imigresen untuk menyatakan anak guamnya berada di luar negara di saat siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sedang berjalan.
Peguam berkenaan, Encik N Rajesh memberitahu bahawa pihak peguam sebelum ini telah memaklumkan kepada SPRM tentang keberadaan anak-anak Almarhum Tun Daim di luar negara.
“Ini merupakan satu lagi cubaan untuk menimbulkan sensasi oleh badan penguat kuasa yang sepatutnya bersikap neutral dan tidak berpolitik.
“Peguam telah pun memaklumkan kepada SPRM secara bertulis bahawa mereka kini berada di luar negara,” katanya, lapor portal berita, Malaysiakini pada 1 Mac.
Encik Rajesh menyifatkan tindakan itu sebagai satu ‘langkah politik yang dirancang’ dan menimbulkan kebimbangan berhubung risiko dalam proses siasatan.
“Saya berharap kerajaan dan badan penguat kuasa berkaitan menghentikan kenyataan tidak berasas serta bersifat prejudis seperti ini, dan sebaliknya melaksanakan tugas mereka secara adil dan telus,” katanya.
Sebelum ini, SPRM pada 27 Februari lalu mengeluarkan kenyataan memohon bantuan awam untuk mencari empat anak Almarhum Tun Daim – Asnida, Wira Dani, Amir dan Amin – tanpa memperincikan kes yang mahu disiasat.
Kenyataan itu dikeluarkan SPRM beberapa jam selepas Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, memberi kenyataan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan terhadap dakwaan komplot untuk menjatuhkan kerajaan dan sabotaj kestabilan Malaysia.
Datuk Mohd Khalid dalam kenyataan ketika itu berkata siasatan itu menumpukan kepada dakwaan penglibatan seorang tokoh berpengaruh negara yang didakwa bekerjasama dengan sebuah agensi media antarabangsa untuk melaksanakan rancangan itu.
Encik Rajesh kemudian mengkritik SPRM kerana mengeluarkan kenyataan awam yang menggesa orang ramai memberikan butiran keberadaan anak Almarhum Tun Daim itu, yang didakwa untuk mengalihkan perhatian awam daripada seruan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Tuntutan penubuhan RCI itu adalah bagi menyiasat dakwaan yang dilemparkan terhadap Ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki dan suruhanjaya itu sendiri, yang dilaporkan terbabit dengan ‘mafia korporat’ dan isu pegangan saham Tan Sri Azam yang dipersoalkan.
Isteri Almarhum Tun Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, pada hari sama mengesahkan satu laporan polis dibuat terhadapnya berhubung dakwaan terbabit dalam usaha dan komplot menjatuhkan kerajaan itu.
Berita Harian Malaysia melaporkan, Toh Puan Na’imah dalam satu kenyataan berkata individu yang membuat laporan itu pada awalnya diambil bekerja sebagai anggota pasukan komunikasi yang dicadangkan, namun khidmatnya ditamatkan kerana prestasi tidak memuaskan.
“Selepas khidmatnya ditamatkan, beliau cuba membuat tuntutan kewangan tambahan. Jelas sekali ini adalah tingkah laku seorang lelaki yang tidak berpuas hati,” katanya.
Toh Puan Na’imah juga mendakwa laporan itu bertujuan mengalih perhatian daripada gesaan supaya Tan Sri Azam Baki yang sudah tiga kali mengetuai SPRM, berundur.
SPRM kemudian pada 28 Februari dilapor menjelaskan Notis Kesan Individu yang dikeluarkan ke atas empat anak Almarhum Tun Daim, adalah berikutan kegagalan mereka memberi maklum balas dan ketidakpatuhan terhadap dua notis rasmi yang diserahkan SPRM berkaitan pengisytiharan aset.
Menurut SPRM, notis itu dikeluarkan selepas tiada maklum balas diterima dan usaha menghubungi keempat-empat mereka tidak berjaya setakat 26 Februari lalu.

