BUTTERWORTH (Pulau Pinang): Seorang pekerja kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang, pada 19 Julai, atas tuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas ISIS dalam telefon bimbit pada Jun.
Tertuduh, Muhammad Zul Khairi Mohamad Nasir, 33 tahun, yang masih bujang didakwa memiliki bahan berkaitan dengan kumpulan pengganas ISIS di dalam telefon bimbit miliknya, di sebuah premis di Sungai Dua, Butterworth, pada 9.35 pagi, 23 Jun.
Muhammad Zul Khairi mengangguk faham selepas pendakwaan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Noor Aini Yusof, lapor Berita Harian Malaysia.
Tiada pengakuan direkodkan dan mahkamah kemudian membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menetapkan 19 Ogos untuk perbicaraan.
Sebelum ini sepanjang Jun, pihak berkuasa Malaysia telah menahan beberapa individu lain yang memiliki bahan berkaitan ISIS.
Pada 27 Jun, pekerja kilang, Suhaina Sarwan, 46 tahun, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor, atas dua tuduhan memiliki bahan berkaitan pengganas ISIS antaranya artikel berkaitan kumpulan pengganas itu dan perbuatan pengganas di dalam komputer riba.
Dia yang dihadapkan ke mahkamah untuk kali kedua turut dituduh memiliki bahan bacaan iaitu lima buku berkaitan kumpulan pengganas ISIS dan perbuatan pengganasan.
Pada 25 Jun di Johor Bahru, Suhaina bersama suaminya, Muhammad Feesol Harun, 35 tahun, dan seorang lagi, Mohd Firdas Kamal Intdzam, 37 tahun, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas lima tuduhan berasingan menyokong dan memiliki bahan berkaitan kumpulan ISIS di dalam telefon bimbit.
Malah, Suhaini turut berdepan dua lagi tuduhan memberi sokongan kepada ISIS menggunakan dua akaun media sosial Facebook atas nama Suhaini Sarwan dan Enma Kenma.
Kerajaan Malaysia mengaktifkan pelbagai operasi dan kawalan untuk mengekang penularan kumpulan pengganas termasuk ISIS di negara itu, terutama selepas serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru yang mengorbankan dua konstabel polis, manakala seorang anggota cedera.
Suspek serangan berjaya ditembak mati dalam kejadian 2.30 pagi 17 Mei, manakala lima ahli keluarga suspek sudah didakwa di Mahkamah Johor Bahru pada 19 Jun, atas sembilan tuduhan berasingan, termasuk menggalak dan menanam ideologi pengganas Jemaah Islamiyah (JI).
Tertuduh membabitkan bapa lelaki berkenaan, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62 tahun, dan ibunya, Rosna Jantan, 59 tahu, yang juga warga Singapura, serta tiga adik-beradik suspek.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg