Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembangkang nafi 8 lagi AP akan sokong Anwar

Feb 9, 2024 | 11:02 AM
Ketua Pembangkang merangkap Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah), menafikan dakwaan lapan lagi Ahli Parlimen pembangkang akan mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Pembangkang merangkap Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah), menafikan dakwaan lapan lagi Ahli Parlimen pembangkang akan mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto FACEBOOK HAMZAH ZAINUDIN

KUALA LUMPUR: Pembangkang menafikan dakwaan lapan lagi Ahli Parlimennya (AP) akan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelang pembukaan sidang Dewan Rakyat hujung Februari ini.

Sebaliknya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, menyifatkan dakwaan AP Bukit Gantang yang juga wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang sudah ‘berpaling tadah’, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, sebagai ‘hilang akal’.

“Dakwaan lapan lagi AP akan beralih sokongan itu dakwaan orang hilang akal. Dia sudah hilang akal, dia sudah sertai belah sana (blok kerajaan), jadi dia terpaksalah buat cerita lain.

“(Ini) Datuk Seri Saifuddin (Abdullah, AP dari) Pahang. Dua-dua di sini (termasuk AP Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah) menafikan,” katanya lapor Berita Harian Malaysia pada sidang media di ibu pejabat Perikatan Nasional (PN), di Kuala Lumpur, pada 8 Februari malam.

Mengulas lanjut, beliau berkata PN juga sudah meminta peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

“Ya kita sudah lantik peguam,” katanya ketika ditanya media bila PN akan menyaman semua AP yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Datuk Anwar.

Datuk Saifuddin yang juga AP Indera Mahkota sebelum ini menolak dakwaan dua AP Bersatu di Pahang antara 10 lagi AP pembangkang akan mengumumkan sokongan kepada Datuk Anwar.

Penafian itu dibuat susulan dakwaan sekurang-kurangnya lapan AP pembangkang akan menyatakan sokongan kepada Datuk Anwar pada sidang Parlimen Februari ini.

Sebelum ini, enam AP dari Bersatu telah menyatakan sokongan kepada Datuk Anwar iaitu Datuk Syed Abu Hussin (Bukit Gantang); Encik Zahari Kechik (Jeli), Encik Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Pada sidang media itu Datuk Hamzah turut mengumumkan perubahan dan penambahan jawatankuasa portfolio Kabinet bayangan PN, mengikut kedudukan Kabinet sedia ada.

“Kita semua sedia maklum isu paling besar dalam negara adalah kenaikan harga barang, kejatuhan nilai ringgit, pencen penjawat awam dan pendakwaan politik dan itu akan diberi lebih tumpuan dan diperjuangkan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg