TAPAH (Perak): Penemuan seorang pendaki wanita berusia 49 tahun, Cik Jaslinda Saludin, dalam keadaan selamat selepas 14 hari hilang di Gunung Batu Putih dianggap luar biasa, terutama dalam persekitaran hutan yang sangat sejuk.

Beliau dilaporkan hilang sejak 24 Mei semasa menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman yang disertai 13 pendaki lain serta dua malim gunung.

Selepas 14 hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang gigih, Cik Jaslinda akhirnya ditemukan selamat oleh penduduk Orang Asli tempatan, sebelum dibawa keluar dan dikejarkan ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut.

Semasa pendakian itu, Cik Jaslinda bersama seorang lagi pendaki, Encik Mohd Hanafi Neikmad, 41, terpaksa berhenti kerana masalah kesihatan. Namun, Cik Jaslinda kemudian meneruskan pendakian ke puncak dan kali terakhir dilihat oleh Malim Gunung Perhutanan (MGP) pada 24 Mei, jam 7.30 pagi.

Beliau akhirnya ditemui oleh dua penduduk Orang Asli, Encik Nazri a/l Bah Eng, 55, dan Encik Bah Roslan Bah Sulpok, 51, yang sedang memancing di sungai. Pendaki itu kemudian dibawa ke rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu, Encik Mohd Asmadi Abdullah, 63, di Pos Musoh.

Presiden Persatuan Malim Gunung Malaysia (PMGM), Muzafar Mohamad, menyifatkan keupayaan mangsa bertahan dalam suhu pergunungan yang ekstrem serta kecekalan mencari jalan keluar sebagai sesuatu yang jarang ditemui.

“Kelengkapan yang dibawa beliau jauh melebihi keperluan biasa untuk pendakian 24 jam. Malah, beliau ditemukan masih lengkap berpakaian hangat yang membantunya menahan suhu dingin.

“Di ketinggian 1,800 hingga 2,000 meter, Gunung Batu Putih sememangnya mencabar. Namun, beliau berjaya melaluinya, bukti persediaan yang rapi dan mental yang kental dalam menghadapi ujian getir ini,” ulas beliau kepada Harian Metro.

Dalam video yang tular selepas diselamatkan, Cik Jaslinda berkongsi detik getir apabila beliau terpaksa bertahan tanpa makanan selama dua minggu, hanya bergantung kepada air hutan serta sumber daripada periuk kera.

Beliau mengakui hampir berputus asa kerana tiada bekalan makanan dan sukar mencari air bersih untuk diminum.

Sementara itu, Encik Mohd Asmadi menceritakan pengalaman ganjil yang dilalui mangsa ketika sesat. Cik Jaslinda sering merasa seolah-olah ada individu di sekeliling yang memanggil namanya, malah terdengar bunyi seperti tiupan wisel.

Walau bagaimanapun, apabila diperhati dengan teliti, tiada sesiapa di situ, meninggalkan beliau dalam keadaan bingung dan penuh tanda tanya sepanjang tempoh sukar itu.