ALOR SETAR: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) sudah memanggil dan memberi nasihat kepada seorang pendakwah popular Malaysia, berkaitan video tular sekumpulan pelajar mengalunkan bait tertentu dalam bahasa Arab memuji guru mereka secara keterlaluan dalam sebuah majlis meraikan hari lahir.
Pengarah JHEAIK, Datuk Dr Abd Ghani @Zulkifli Zainuddin, berkata pihaknya sudah mendapatkan penjelasan berkaitan video terbabit daripada pendakwah berkenaan, Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli.
Datuk Abd Ghani berkata Syeikh Muhd Zainul Asri mengakui video itu dirakam pada 2020, namun hanya tular baru-baru ini.
“Menurut beliau, perkara itu berlaku secara spontan dan bukan atas kehendak beliau. Beliau turut tidak bersetuju dengan perkara itu dan sekadar meraikan hasrat pelajar beliau bertujuan meraikan sambutan hari lahirnya.
“Pihak JHEAIK memberi teguran dan nasihat agar lebih berhati-hati dalam membesarkan mana-mana individu secara keterlaluan kerana dikhuatiri boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat dan ketaasuban melampau sekiranya tidak dibendung.
“Ia juga boleh mengakibatkan masyarakat terjerumus kepada amalan yang bercanggah dengan akidah,” katanya dalam kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Abd Ghani berkata, JHEAIK turut mengarahkan Syeikh Muhd Zainul Asri agar menyampaikan teguran dan nasihat kepada pelajar dan pengikut beliau.
“JHEAIK berharap semua pihak di Kedah berhati-hati dalam memberi penghormatan kepada mana-mana individu yang boleh membawa kepada pemujaan melampau agar perkara seumpama ini tidak berulang,” katanya.
Klip video sepanjang 54 saat terbabit dimuat naik seorang pengguna Facebook yang mempersoal tindakan sekumpulan pelajar memuji Syeikh Muhd Zainul Asri secara keterlaluan sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, dilaporkan berkata pihaknya sudah menghubungi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan Jabatan Mufti Negeri Kedah bagi menyiasat isu berkenaan.
Sebelum ini pada Jun 2023, polis pernah membuka kertas siasatan terhadap Syeikh Muhd Zainul Asri yang juga bekas Timbalan Ketua Dewan Ulama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kedah, berhubung ucapannya yang didakwa berbaur hasutan dalam program Himpunan Kedah Berselawat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg