Penduduk Putra Heights bangkit semangat rai Aidilfitri meski kehilangan dan kesedihan
Penduduk Putra Heights bangkit semangat rai Aidilfitri meski kehilangan dan kesedihan
Tragedi letupan, kebakaran paip gas pada Raya kedua 2025 tinggalkan kelecuran dan trauma buat mangsa
Tragedi letupan dan kebakaran paip gas bawah tanah di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, yang menggemparkan Malaysia pada hari kedua Aidilfitri 2025 lalu, telah mengubah secara mendadak kehidupan penduduk yang terjejas.
Hampir setahun selepas kecelakaan pada 8 pagi, 1 April itu berlaku, ketibaan Syawal 2026 tidak lagi diraikan semeriah dulu, walaupun sebahagian penduduk yang kemusnahan tempat berteduh dan harta benda, kini menyambut Lebaran di kediaman baharu yang dibina semula oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), sejak Januari lalu.
Letupan akibat kebocoran paip gas milik Petronas yang menyebabkan kebakaran besar sehingga api menjulang setinggi 30 meter dan suhu panas mencecah 1,000 darjah Celcius itu telah meleburkan puluhan kediaman di Kampung Kuala Sungai Baru dan Putra Heights, selain ratusan penduduk tercedera.
Bagi seorang penduduk di Kampung Kuala Sungai Baru yang tinggal sehelai sepinggang, Encik Mohd Khairul Amin Mohd Rashid, 39 tahun, sambutan Aidilfitri kali ini bagai tiada makna, dengan persiapan ala kadar dibuat hanya untuk menggembirakan tiga anak perempuannya yang berusia empat, sembilan dan 11 tahun.
Menurut beliau, kejadian ngeri itu mengubah kehidupannya 360 darjah, daripada seorang usahawan berjaya dengan kehidupan yang selesa, kini beliau hilang sumber pendapatan dan terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan bagi menyara isteri dan tiga anak perempuan yang sedang membesar.
Beliau yang merupakan antara usahawan muda Selangor yang diiktiraf kerajaan negeri bukan saja kehilangan rumah yang dibina hasil titik peluh sendiri, malah semua aset perniagaan yang diusahakan bersama keluarga termasuk bas, lori dan van sewaan pengangkutan serta kanopi selain kedai makan bernilai jutaan ringgit.
“Apabila semua sudah musnah, kita nak mulakan balik kehidupan itu memang agak sukarlah. Tetapi saya cari alternatif lain dengan bekerja.
“Jika dulu saya usahawan berjaya, sekarang saya seperti buruh yang terpaksa lakukan pelbagai pekerjaan bergantung kepada kerja harian… bawa bas, hantar barang, apa saja yang ada untuk menyara keluarga. Sekarang, bila ada kerja, baru ada gaji,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH) di kediaman barunya itu.
Malah demi mencari rezeki, Encik Khairul Amin sanggup menunggang motosikal kecil sejauh 300 kilometer ke Johor, berulang-alik dalam sehari, hanya untuk mengambil bekalan dodol buat jualan sepanjang Ramadan.
“Ada orang kata saya buat kerja gila, tetapi ini saja jalan yang saya ada untuk bangkit perlahan-lahan. Pendapatan kini sekadar cukup makan. Permintaan kecil anak-anak seperti mahu beli buku pun kadangkala terpaksa ditangguhkan. Memang kami amat berjimat cermat sekarang,” katanya lagi.
Namun, di sebalik semua kehilangan dan trauma itu, beliau memilih untuk bertahan, apatah lagi mendapat sokongan kuat daripada rakan-rakan sekampung dan keluarga yang sama-sama terjejas.
“Kalau ikutkan, mental memang koyak. Semua yang saya dan keluarga usahakan bertahun-tahun sejak ayah masih ada, hilang sekelip mata. Tapi saya bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat dalam kejadian itu. Bantuan juga ada walaupun tidak seindah yang digambarkan.
“Saya bertuah kerana rakan-rakan yang membesar bersama sejak kecil sanggup meninggalkan sambutan Aidilfitri di kampung demi membantu saya pada hari kejadian. Sampai sekarang pun mereka tak putus bantu dan jadi kekuatan saya,” katanya.
Menurut Encik Khairul Amin, ibunya, Cik Yatimah Mohamad Nor, 70 tahun yang semakin dimamah usia dan abangnya, Encik Mohd Radzi Mohd Rashid, 44 tahun, masih menjalani rawatan bulanan di hospital akibat kecederaan melecur yang teruk.
Malah, Cik Yatimah terpaksa menjalani pembedahan salin kulit (pembedahan menampal bahagian kulit lain di bahagian yang melecur) dan abangnya menanggung kesan kesakitan sehingga kini.
“Luka fizikal mungkin boleh dirawat, tetapi trauma yang ditinggalkan tidak mudah hilang. Apatah lagi semua yang lenyap amat bermakna bagi kami kerana ada nilai kenangan tersendiri terutama bersama arwah bapa,” katanya.
Detik kejadian itu masih segar di ingatannya apabila beliau yang sedang berehat bersama keluarga tiba-tiba terdengar bunyi letupan, diikuti gegaran dan apabila keluar rumah, ternampak cahaya kekuningan seperti senja dan api besar menjulang.
“Ketika itu saya sudah dapat agak ia berpunca daripada paip gas itu. Saya segera minta isteri selamatkan diri bersama anak-anak, sementara saya cuba selamatkan ibu dan adik-beradik yang memang tinggal berhampiran.
“Tetapi saya tak jumpa kerana mereka berlindung dalam bilik air, hingga akhirnya ada bantuan tiba menyelamatkan mereka,” katanya.
Bagi Encik Khairul Amin, yang juga anak jati kampung itu, apa yang berlaku mengajar mereka erti kehilangan, kesabaran dan kekuatan untuk memulakan semula kehidupan.
“Kita mungkin hilang banyak benda, tapi selagi ada usaha dan semangat, kita masih boleh bangkit semula,” katanya yang turut membelanjakan sejumlah besar wang simpanan untuk membaiki rumah sewa peninggalan Allahyarham bapanya, yang turut musnah dalam kejadian itu.
Sementara itu pesara guru, Encik Zainudin Abdul Halim, 62 tahun, mengakui masih belum mampu melupakan kejadian setahun lalu, namun perlu bangkit meneruskan kehidupan walaupun berdepan ujian sembilan unit rumah miliknya, termasuk lapan rumah sewa di Kampung Kuala Sungai Baru, musnah sekelip mata.
“Kehidupan harus diteruskan. Allah menduga kita sebab Dia tahu kekuatan kita. Insya-Allah saya percaya mungkin ada yang lebih baik dari-Nya pada masa akan datang.
“Kunci utama untuk bangkit adalah mengubah cara berfikir. Dulu kita hidup senang, sekarang sebahagian besar wang pencen dan simpanan habis untuk bangunkan semula apa yang musnah dalam kejadian itu.
“Kami bersyukur dapat rumah baru, walaupun jika dibandingkan kehidupan di rumah asal yang lebih luas dengan yang sekarang agak kecil, di situ pun kita sudah kena sesuaikan diri. Apa pun saya dan keluarga bersyukur masih dapat teruskan kehidupan,” katanya ketika ditemui BH.
Beliau yang bersara sebagai guru besar pada 2024 berkata kejadian itu berlaku hanya setahun selepas beliau menamatkan perkhidmatan, menjadikannya satu tamparan hebat dalam fasa awal kehidupan persaraan.
Namun tambahnya, proses untuk bangkit tidak berlaku sekelip mata, sebaliknya dilakukan secara perlahan-lahan mengikut kemampuan.
“Saya buat semula rumah sewa secara beransur sedikit demi sedikit. Tengok apa yang boleh dibuat untuk cari balik pendapatan.
“Sejujurnya, saya terkilan dikecam teruk hanya kerana berkongsi di media kerugian jutaan ringgit yang saya alami akibat kemusnahan harta benda termasuk rumah sewa yang saya ada.
“Sedangkan orang tidak tahu susah payah saya membina semua itu dengan hasil simpanan bekerja dan berjimat cermat demi masa depan keluarga terutama selepas saya bersara. Luluh hati hasil usaha kita lenyap sekelip mata,” katanya.
Menurutnya, rumah sewa yang dibina bukanlah banglo mewah, sebaliknya hanya unit kecil yang didirikan secara berperingkat di atas tanah milik keluarga mentua.
“Rumah sewa kami bukan besar pun, cuma rumah sewa kampung saja. Tapi itulah hasil titik peluh kami,” katanya.
Beliau bersyukur kerana ketiga-tiga anaknya sudah bekerja, malah dua daripada mereka telah berkeluarga, sekali gus sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung.
Di sebalik ketabahan itu, beliau mengakui trauma akibat kejadian tersebut masih dirasai hingga kini.
“Sampai sekarang kalau tengok gambar kejadian itu, saya akan sedih dan menitiskan air mata,” katanya.
Selain kemusnahan harta benda, kesan paling besar akibat kejadian itu, kata Encik Zainudin, ialah tahap kesihatan mereka, dengan tiga ahli keluarganya iaitu ibu mentua, anak dan cucu berusia lima tahun, masih perlu mendapatkan rawatan kulit yang melecur setiap enam minggu sekali di hospital.
“Sampai sekarang parutnya masih menebal, malah kami terpaksa membelanjakan ratusan ringgit sebulan untuk membeli makanan tambahan bagi memulihkan kesan lecur ini,” katanya.
Mengimbau secara ringkas kejadian berkenaan, Encik Zainudin berkata beliau baru pulang dari bersarapan di kedai berhampiran dan sedang berbincang rancangan ziarah Raya bersama isteri, sebelum tiba-tiba terdengar bunyi letupan yang disusuli api marak seperti gunung berapi, hingga menyebabkan semua harta benda melebur.
“Saya segera minta semua lapan ahli keluarga selamatkan diri. Kami fikirkan mungkin kami akan mati, tetapi alhamdulillah, Allah panjangkan umur. Cuma semua ahli keluarga saya alami lecur kulit di beberapa anggota badan,” katanya.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, beliau memilih untuk terus positif dan tidak membiarkan ujian tersebut melemahkan semangatnya.
Malah, Aidilfitri tahun ini (2026) juga disambut secara sederhana di rumah baharu yang dibina SPNB, tanpa persiapan besar seperti kebiasaan.
“Kami sambut raya di sini saja. Orang tua saya sudah tiada, cuma ibu mentua tinggal dengan saya. Tahun ini pun tak buat persiapan raya sangat sebab kami lebih fokus untuk tunaikan umrah beberapa hari selepas raya.
“Ini hajat kami yang tertangguh pada tahun lalu (2025) akibat kejadian malang itu. Jadi Insya-Allah, kami teruskan pada tahun ini,” katanya.
“
“Saya bertuah kerana rakan-rakan yang membesar bersama sejak kecil sanggup meninggalkan sambutan Aidilfitri di kampung demi membantu saya pada hari kejadian. Sampai sekarang pun mereka tak putus bantu dan jadi kekuatan saya,”“
“Kami bersyukur dapat rumah baru, walaupun jika dibandingkan kehidupan di rumah asal yang lebih luas dengan yang sekarang agak kecil, di situ pun kita sudah kena sesuaikan diri. Apa pun saya dan keluarga bersyukur masih dapat teruskan kehidupan.”
