SEGAMAT (Johor): “Pagi 28 Disember kami dikejutkan dengan gempa bumi lemah, petang pula kami kena pindah kerana rumah ditenggelami air,” kata Raja Sahrin Tengku Ismail, 60 tahun, seorang daripada mangsa banjir yang melanda daerah Segamat, Johor, sejak malam 28 Disember.
Warga emas yang menetap di Kampung Seberang Batu Badak itu berkata belum pun reda kegusaran akibat gempa bumi, mereka sekali lagi diuji dengan banjir yang memaksanya berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Pada 8.55 pagi 28 Disember kami rasa gegaran, 8 malam pula kami diarah berpindah selepas air sungai melimpah ke kediaman kira-kira 1 tengah hari.
“Kebanyakan penduduk sudah lali dengan banjir kerana mereka tahu hujung dan awal tahun berlaku musim tengkujuh yang menyebabkan banjir,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Serbaguna Kampung Tasek, Jementah, Segamat, lapor Harian Metro.
Tambah Raja Sahrin, banjir kali ini dianggap antara paling teruk dan dipercayai berpunca daripada benteng dibina pada 2024 yang pecah akibat strukturnya belum kukuh.
Seorang lagi mangsa banjir, Cik Aishah Abd Hamid, 65 tahun, berkata hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan rumahnya ditenggelami air hanya dalam tempoh tidak sampai dua jam.
“Saya keluar ke bandar Segamat kira-kira 11 pagi untuk membeli barang keperluan, namun pada 1 tengah hari, jiran memberitahu air sungai melimpah dan memasuki rumah saya.
“Saya bergegas pulang dan sebaik tiba, air sudah melepasi paras lutut.
“Banjir memang terjadi setiap tahun, tetapi kali ini ia berlaku pada hari sama kampung kami dilanda gempa lemah.
“Cuma kami bimbang kebiasaannya air lambat surut yang menyebabkan berlaku banjir termenung,” katanya.
Kampung Seberang Batu Badak adalah antara tujuh kampung di Segamat dilanda banjir yang menyaksikan setakat ini seramai 167 mangsa daripada 55 keluarga dipindahkan ke PPS.
Kesemua mereka mula dipindahkan ke PPS sejak 8 malam 28 Disember, selepas hujan berterusan sejak 26 dan 27 Disember.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Asman Shah Abd Rahman, dalam satu kenyataan pada 30 Disember berkata dua sungai di Segamat melepasi paras bahaya iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap dengan bacaan 8.89 meter dan Jeti Sungai Tekam (4.13 meter), dengan trend banjir menaik.
Sementara itu, satu jalan masih ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan iaitu Felda Tenggaroh 3, Mersing, susulan kejadian cerun runtuh.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg